Rumah gelandangan bagus, tapi kaji dulu dengan menyeluruh - pakar

Khairunnisa Kasnoon
Julai 10, 2015 07:55 MYT
Kajian menyeluruh perlu diambil kira bagi memastikan program yang diatur buat golongan gelandangan mencapai matlamat sebenar. - Gambar fail
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu mengambil kira segenap aspek sebelum memberikan penempatan kepada golongan gelandangan.
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin bekata, bantuan yang disediakan kerajaan dengan pihak swasta itu adalah baik dari sudut jangka masa pendek.
Dr Shamsul Amri berkata apa yang cuba dilakukan bertujuan untuk memperindahkan pemandangan ibu kota dari penglihatan pelancong luar khususnya.
Namun katanya, kajian menyeluruh perlu diambil kira bagi memastikan program yang diatur mencapai matlamat sebenar.
"Yang utamanya untuk memastikan mereka ini ada shelter ataupun tempat berteduh dahulu sebelum diberikan rumah, ertinya pemberian yang awal ini, ialah untuk mereka berpindah daripada kawasan luar yang tidak ketentuan itu kepada satu tempat yang ada tandas, kemudahan air dan untuk memberikan makanan dan sebagainya.
"Ini adalah impak yang pertama buat mereka keluar dari kawasan yang mungkin nampak tidak indah di Kuala Lumpur tetapi yang lebih penting ialah tindakan susulan bagaimana, JKM dan NGO bertemu dengan mereka dan mengetahui apakah masalah sebenar mereka jadi homeless dan bukan roofless.
"Ini ada beza, antara homeless yang tiada keluarga bukannya tiada tempat tinggal. Konsep, homeless dengan roofless ini saya dapati belum difahami dengan mendalam oleh mereka yang bercadang untuk membantu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya lagi, pihak terlibat perlu mengambil pengalaman daripada kes-kes terdahulu membabitkan penempatan Orang Asli yang pada akhirnya tidak tinggal di rumah yang disediakan.
"Ini perlukan pengetahuan dan maklumat mendalam serta penelitian oleh pihak bertanggungjawab, baru kita dapat sesuaikan kemudahan dengan keperluan, bukannya seperti yang kita buat dengan Orang Asli supaya mereka ini tidak berpindah randah, buat rumah supaya mereka tetap di situ, tetapi dia terus pindah randah, tidak duduk di rumah itu.
"Jadi ini kita sudah belajar dalam kes-kes lain, jadi saya rasa jadi pengajaran kepada kita dalam menagani masalah perumahan untuk gelandangan ini," katanya lagi.
Pandangan itu turut dipersetujui Felo Utama Kajian Malaysia dan Antarabangsa, IKMAS, Prof. Emiratus Datuk Abdul Rahman Embong yang mahu punca wujudnya gelandangan ini dapat dicari.
"Masalah gelandangan ini kompleks,ia bukan masalah tempat tinggal semata-mata, tapi masalah pekerjaan, masalah kesihatan dan masalah yang lain-lain lagi.
"Ertinya mengadakan tempat tinggal khas untuk mereka satu aspek sahaja, bagaimana pula nak memastikan mereka dapat hidup berdikari seperti orang lain. Kedua pula, bagaimana pula mereka yang sakit yang perlu dapatkan rawatan perubatan.
"Saya rasa rancangan seperti ini tidak boleh adhoc, tetapi harus ada rancangan menyeluruh untuk menangani golongan yang paling bawah daripada yang bawah ini.
"Bagus, ya.Tetapi harus konsisten, harus menyeluruh, harus mempunyai kesan yang membawa perubahan kepada kehidupan mereka dan ia dapat dilestarikan dan dapat bertahan, agar akar punca masalah itu dapat ditangani dalam perancangan pembangunan negara dan ibu kota," jelasnya.
Kedua-dua pakar akademik itu mengulas mengenai penempatan yang bakal disediakan kerajaan dalam usaha memberi keselesaan kepada golongan gelandangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis memberi jaminan, rumah untuk golongan gelandangan di Medan Tuanku dan Pekeliling itu dijangka siap dalam waktu terdekat.
Projek dengan kos RM17 juta itu dilakukan dengan kerjasama pihak swasta dalam menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
#gelandangan #kajian menyeluruh #Shamsul Amri Baharuddin
;