Rumah, dua motosikal musnah dalam kebakaran
Aida Aziz
September 27, 2022 09:00 MYT
September 27, 2022 09:00 MYT
TANJUNG MALIM: Sebuah rumah dan dua motosikal musnah dalam kejadian kebakaran di Behrang Station, Kampung Poh, di sini awal pagi tadi.
Kebakaran itu menyebabkan rumah kelas A dengan keluasan 20x40 itu musnah terbakar 20 peratus, manakala dua buah motosikal jenis Honda Wave dan skuter itu, masing-masing dilaporkan musnah 90 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.33 pagi.
Bagaimanapun katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kehilangan nyawa.
"Anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran hose reel bersumberkan air dari tangki jentera, sehingga kebakaran padam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Jasmi Abd Kamal itu tamat pada jam 4.21 pagi.