Rumah, dua kereta musnah dijilat api di Kuala Kangsar

Aida Aziz
Mac 6, 2025 05:50 MYT
Kebakaran berlaku di Taman Chandan Puteri, dekat Kuala Kangsar, petang semalam melibatkan sebuah rumah berkeluasan 80 × 20 kaki persegi kelas A serta dua kereta. - Foto JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Sebuah rumah teres dua tingkat bersama-sama dua buah kereta musnah dijilat api di Persiaran Puteri 2/2 Taman Chandan Puteri, dekat sini, petang semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.56 petang itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar sebanyak 90 peratus, manakala dua kereta masing-masing terbakar 70 peratus dan 40 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Sungai Siput bergegas ke lokasi.
"Rumah berkeluasan 80 × 20 kaki persegi kelas A musnah terbakar, turut terlibat kereta jenis Naza dan Proton Persona.
"Bagaimanapun, insiden itu tidak membabitkan mangsa," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, ketua operasi mengaplikasi konsep RECEO dan mengarahkan anggota membuat kerja memadam kebakaran.
"Operasi tamat selepas tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang," tambahnya.
#rumah terbakar #kereta terbakar #Kuala Kangsar #JBPM Perak
;