Rumah dirempuh treler semasa kami tidur - Ibu mangsa

Sinar Harian
Ogos 3, 2024 09:53 MYT
Keadaan rumah Norrulaini yang dirempuh treler terbabas pada Sabtu. Gambar kenangan Nurnazatul Fasiha (dua, dari kanan) dan Mohd Waldon Faris (kiri) bersama adik beradiknya.
PEKAN: "Kejadian berlaku begitu pantas. Treler itu rempuh rumah semasa kami sekeluarga sedang tidur," kata Norrulaini Mohd Hassan, 54.
Norrulaini berkata, tidak tertanggung ujian dihadapi apabila insiden itu meragut nyawa dua anaknya.
"Saya tidak boleh nak cakap, tidak tertanggung kehilangan mereka, rasa hati saya Allah sahaja yang tahu," katanya ringkas ketika ditemui Sinar Harian di Masjid An Nur Ketapang Hilir di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, treler membawa barangan pelbagai dipandu oleh pemandu disyaki positif dadah terbabas dan melanggar rumah jenis separuh kekal didiami lima sekeluarga di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di Kampung Ketapang Hilir di sini awal pagi Sabtu.
Mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Dalam insiden itu Norrulaini, suaminya, Nasruddin Othman, 60, dan rakan kepada anaknya, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, mengalami kecederaan.
Norrulaini memberitahu, Allahyarhamah Nurnazatul Fasiha yang merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering meminta untuk tidur bersama dengannya sejak sebulan lalu.
Dia tidak menyangka permintaan tersebut petanda anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi selama-lamanya.
"Sebulan dia (Nurnazatul Fasiha) hendak tidur dengan saya dan dia tidak mahu tidur ditempat lain.
"Ini adalah petanda rupanya Allah hendak jemput dia," katanya dengan nada sebak.
Sementara itu, abang sulung kepada mangsa, Mohd Fakrul Hafiz, 35, mengakui masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarga.
"Saya tidak sangka, walaupun mak dan ayah terselamat, tapi saya kehilangan dua beradik," katanya yang enggan bercerita lanjut.
Mohd Fakrul memaklumkan jenazah Nurnazatul Fasiha dan adik bongsunya, Mohd Waldon Faris yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang pada Sabtu. -Sinar Harian
#rumah dirempuh treler #pemandu positif dadah #Nurnazatul Fasiha Nasruddin #Mohd Waldon Faris