Rumah dimusnah banjir, sambut Tahun Baru Cina di bengkel

Muhafandi Muhamad
Februari 19, 2015 17:40 MYT
Menurut Sin Yoon, dia dan isterinya Wee Siok Yan pasrah dengan ketentuan hidup dan berharap kedatangan tahun kambing memberi sinar baru. Foto Astro AWANI
Seorang tukang kayu hanya meraikan Tahun Baru Cina di sebuah bengkel perabot miliknya dalam keadaan serba kekurangan selepas kediamannya di Kampung Baru Hulu di sini musnah akibat dibadai arus banjir dua bulan lepas.
Setiap hari, Teow Sin Yoon, 63, berada di bengkel tersebut bagi menyiapkan tempahan perabot daripada pelanggan.
Menurut Sin Yoon, dia dan isterinya Wee Siok Yan, 63, pasrah dengan ketentuan hidup dan berharap kedatangan tahun kambing akan memberi sinar baharu kepada mereka sekeluarga.
Teow Sin Yoon (kanan) menunjukkan keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan teruk akibat dilanda banjir. - Foto Astro AWANI
Dalam kejadian 23 Disember lalu, rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Ketil mengalami terjejas teruk selepas air yang melimpahi tebing sungai melanda rumah mereka dan banyak kediaman lain di sekitarnya.
Kejadian tersebut menyebabkan kerosakan besar pada struktur rumahnya sementara banyak barangan berharga milik mereka sekeluarga tidak dapat diselamatkan.
Kini, dia dan isterinya ditempatkan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara Etnobotani Gua Musang.
Walaupun kesedihan mereka berdua tidak tertanggung, namun ia terubat apabila dua anak lelaki dan menantunya yang bekerja di Kuala Lumpur pulang untuk meraikan Tahun Baru Cina.
“Selepas rumah hanyut dilanda banjir, semua barang kami sudah tidak ada. Kami tiada tempat tinggal dan hanya bermalam di PLKN. Kami ke sini pada waktu tengah hari untuk bekerja,” ujar Sin Yoon merujuk kepada bengkel yang disewa daripada majlis daerah itu.
Sementara itu, Siok Yan masih terkenang tentang rumahnya yang musnah dalam bencana besar tersebut.
“Tahun lepas kami suka (menyambut perayaan) kerana ada rumah. Sekarang sudah tidak ada, rasanya tak raya pun tak apalah. Tapi kena juga sambut, buat-buat senang (hati) sajalah.
“Bengkel ini tempat kerja suami saya. Kami raya di sini sebab rumah pun dah tidak ada,” ujarnya menahan sebak.
Pada tahun ini, keluarga Sin Yoon hanya menyediakan sedikit hidangan berupa kuih muih dan limau Mandarin sebagai menyambut Tahun Baru Cina.
Sin Yoon sekeluarga tetap menyambut Tahun Baru Cina dalam keadaan serba kekurangan di bengkel perabot tempat dia bekerja. - Foto Astro AWANI
#banjir #bengkel #sambutan #Tahun Baru Cina
;