Rumah dilanda banjir, enam sekeluarga terperangkap diselamat

Muhammad Aiman Hakeem
Ogos 27, 2022 23:52 MYT
Bomba membuat operasi penyelamatan bagi memindahkan semua mangsa ke tempat yang lebih selamat. - Gambar/ JBPM
KOTA TINGGI: Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas kediaman mereka di Kampung Semanggar Dalam, di sini, dinaiki air akibat limpahan sungai berhampiran, pada Sabtu.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Rafi Mohd Nor berkata, dalam kejadian jam 5.49 petang itu, kesemua mangsa terdiri tiga dewasa dan tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan pasukannya.
"BBP Kota Tinggi menerima panggilan kecemasan banjir pada jam 5.49 petang yang beralamat di Kampung Semanggar Dalam, Jalan Kulai, Kota Tinggi.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat mangsa banjir melibatkan satu keluarga enam orang.
"Susulan itu, PKO membuat operasi penyelamatan bagi memindahkan semua mangsa ke tempat yang lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, semua mangsa itu ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Semanggar Dalam untuk sementara waktu.
#banjir johor #mangsa terperangkap #air sungai melimpah #Kota Tinggi
;