Rumah dijilat api, tiga beranak terjun selamatkan diri
Sinar Harian
Julai 26, 2023 10:20 MYT
Julai 26, 2023 10:20 MYT
KOTA BELUD: Tiga beranak nekad terjun dari tingkat dua rumah mereka untuk selamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Sangkir, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Hanisah Duin, 46, bersama dua anaknya, Ahmad Baharul Hidayat, 14, dan Mohd Azham Khalis, 6, masing-masing mengalami cedera ringan selepas terjun dari ketinggian tiga meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Kota Belud.
"Menurut laporan kejadian melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan.
"Terdapat tiga mangsa iaitu seorang ibu bersama dua anaknya mengalami kecederaan ringan selepas terjun dari tingkat dua untuk menyelamatkan diri dan ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Muhammad Syazwan berkata, akibat kejadian itu kesemua mereka mengalami cedera ringan di bahagian kaki selain sakit di bahagian badan.
"Kecederaan itu mungkin disebabkan hentakan ketika terjun dan kesemuanya telah diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambah Muhammad Syazwan lagi, operasi ditamatkan pada jam jam 3.28 pagi. - Sinar Harian