Rumah dijadikan kedai runcit, jual minuman keras digempur

Sinar Harian
Julai 16, 2022 12:00 MYT
Minuman keras ditemukan dalam serbuan MPK di kediaman yang diubah suai menjadi kedai runcit pada Jumaat. - Sinar Harian
KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur 11 kediaman yang dijadikan kedai runcit serta menjalankan aktiviti penjualan minuman keras di Meru di sini pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, perniagaan yang dijalankan oleh warga asing itu didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.
Menurutnya, sitaan barang-barang perniagaan bernilai puluhan ribu ringgit dilakukan dalam operasi tersebut yang merupakan serbuan kali ketiga dilakukan di lokasi sama pada tahun ini.
"Bertindak atas maklumat orang awam, MPK menggempur premis-premis perniagaan yang dikendalikan warga asing dan menemukan aktiviti penjualan minuman keras di sebalik kediaman yang dijadikan kedai runcit.
"Hasil pemeriksaan terhadap 11 buah premis kediaman yang diubah suai menjadi premis perniagaan mendapati kesemua aktiviti perniagaan tidak mempunyai lesen perniagaan," katanya menerusi kemyataan dikongsikan di Facebook MPK pada Sabtu.
Beliau berharap, aktiviti perniagaan tanpa lesen itu dapat dikekang menerusi kerjasama oleh warga tempatan dengan MPK pada masa depan. - Sinar Harian
#minuman keras #serbuan #kedai runcit #warga asing
;