Rumah dihanyut banjir: Kediaman akan dibina semula, tidak perlu bayar sewa
Vivi Sumanti
Mac 8, 2022 22:40 MYT
Mac 8, 2022 22:40 MYT
RANTAU PANJANG: Penduduk yang hilang tempat berteduh apabila rumah mereka dihanyutkan banjir di Kampung Teresan di sini, baru-baru ini, menerima satu lagi khabar gembira, hari ini.
Ia susulan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, memberi jaminan akan menanggung kos sewa rumah, sementara kediaman mereka dibina semula.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar, akan membina semula rumah penduduk terbabit.
"Kita kenal pasti ada lima buah rumah yang rosak dan hanyut sewaktu banjir bulan lepas, dan proses untuk membina kembali rumah baru mangsa banjir itu memerlukan masa kerana ia melibatkan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan dan penilaian sebelum kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar, memulakan pembinaannya.
"Jadi kita akan menanggung sewaan rumah bagi mangsa banjir yang menyewa sementara rumah mereka dibina," katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan Tengku Puan Temenggong, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di kampung Teresan di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya setakat ini, lima rumah sudah disahkan akan dibina semula di Kampung Teresan manakala jumlah rumah yang mengalami kerosakkan dan memerlukan baik pulih masih dalam bancian.
"Bagi rumah yang rosak, pihak berkaitan akan membuat bancian dan kerja-kerja membaik pulih boleh dilakukan sama ada melalui cara gotong-royong atau sebagainya," katanya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan merekodkan lebih 14,470 mangsa daripada 4,600 keluarga dari sembilan jajahan terjejas akibat banjir gelombang kelima di Kelantan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi, berkata jumlah tersebut berdasarkan rekod mereka yang berpindah ke 90 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan jajahan itu
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri yakin jumlah sebenar rakyat Kelantan yang terjejas lebih ramai, dengan anggaran tiga kali ganda jumlah tersebut.
"Kita bertanggapan mangsa banjir yang sebenarnya lebih ramai, tiga kali ganda kerana ramai yang tidak berpindah ke PPS, terperangkap, menumpang di rumah sanak saudara dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, penyaluran Bantuan Wang Ihsan bagi mangsa banjir hanya dibuat berdasarkan pendaftaran di PPS.
Jelasnya lagi, bagi peniaga yang mengalami kerugian atau kerosakan peralatan kerana banjir, mereka boleh memohon bantuan melalui Tabung Usahawan Wanita Kelantan dan peruntukan kerajaan negeri serta Persekutuan.
"Mereka yang terjejas perlu membuat permohonan kepada penghulu, imam mukim untuk bancian," katanya.
Sementara itu situasi banjir di Kelantan setakat petang ini semakin baik dengan 415 mangsa banjir melibatkan 130 keluarga masih berada di satu PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang.
Mereka yang masih berlindung di PPS berkenaan terdiri daripada mangsa banjir yang kehilangan rumah dan fenomena banjir termenung.