Rumah 'diconteng' bekas kartunis jadi galeri

Bernama
Julai 4, 2023 05:00 MYT
Bekas kartunis yang juga pelukis mural, Zulkefli Dahlan menunjukkan lukisan mural yang dihasilkan berlatar belakangkan Kampung Palembang, sebuah lokasi daerah Kluang. - Gambar BERNAMA
KLUANG: Seorang bekas kartunis sambilan majalah humor mengisi masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lepas dengan 'menconteng' dinding rumah rakannya di Kampung Melayu di sini sehingga terhasil 62 lukisan mural tiga dan empat dimensi (3D dan 4D).
Zulkefli Dahlan, 45, berkata, mural 3D dan 4D terakhir yang dihasilkan di sebuah banglo tidak berpenghuni itu adalah pada hujung tahun lepas menggunakan cat mural, cat pintar serta cat air sebelum disapukan dengan lakuer.
"Pada awalnya, saya hanya berangan-angan menghasilkan mural secara dalaman namun setelah mendapat sokongan daripada rakan-rakan, kesemua mural di banglo ini dapat disiapkan dengan setiap mural mengambil masa antara tiga hari hingga empat bulan untuk dihasilkan.
"Apabila tamat tempoh PKP akibat penularan wabak COVID-19, rakan-rakan mencadangkan supaya banglo ini dijadikan sebuah galeri kerana mural yang terhasil mampu menjadi tarikan pelancong, dan sejak itu mulai Februari lepas, banglo ini digelar sebagai Rumah Seni," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada program 'Famtrip Qurban Aidiladha @ Kluang 2023' anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi.
Zulkefli, yang minat melukis sejak berusia lima tahun berkata, selepas Rumah Seni dibuka kepada pengunjung, galeri itu menerima hampir 1,000 pelancong domestik dan luar termasuk dari Singapura serta Indonesia.
Antara mural yang menjadi tumpuan ialah potret Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Kampung Palembang iaitu antara lokasi di daerah ini.
"Suatu ketika semasa saya kecil, saya pernah diketawakan oleh seorang guru kerana saya gemar melukis orang lidi, sejak itu saya nekad untuk melukis bersungguh-sungguh dan syukur sekarang mural saya terlakar di galeri ini serta terdapat di beberapa daerah antaranya Mersing, Tangkak dan Batu Pahat," katanya.
Muhamad Nasir pula berkata, Tourism Malaysia menyokong usaha Zulkefli dan rakan-rakannya sekali gus memasukkan Rumah Seni sebagai antara lokasi yang boleh dikunjungi di daerah itu.
Beliau berkata, selain Rumah Seni, pelancong boleh berkunjung ke Kluang Rail Coffee, Talula Hill Farm Resort, Dataran Impiana, Kluang Coffee Powder Factory, Restoran Bawah Kolong, Hutan Rekreasi Gunung Belumut, Felda Ulu Dengar, Taman Air Gunung Lambak dan Taman Cattle Queen. - BERNAMA
#rumah diconteng #bekas kartunis #galeri #PKP
;