Rumah calon Bebas DUN Labuk musnah dalam kebakaran

Bernama
September 19, 2020 14:28 MYT
Rumah calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Labuk Abdul Rahman Kongkawang musnah terbakar di Kampung Muanad 3 hari ini. - Foto BERNAMA
Rumah calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 musnah dalam kebakaran di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran Rastam Keladi berkata rumah Abdul Rahman Kongkawang, yang juga penyandang kerusi DUN Labuk, di Kampung Muanad 3 di sini musnah dalam kejadian pada kira-kira 2.30 petang.
"Balai Bomba dan Penyelamat Beluran menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.35 petang tadi dan sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 8 kilometer dari balai.
"Kejadian melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal iaitu berstruktur kayu. Api berjaya dikawal daripada merebak sejam kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Rastam berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
-- BERNAMA
#Abdul Rahman Kongkawang #Balai Bomba dan Penyelamat Beluran #DUN Labuk #Kampung Muanad #kebakaran #pilihan raya negeri #PRN Sabah #rumah calon Bebas