KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan dakwaan rumah balu anggotanya telah dirobohkan pihak berkuasa dalam satu operasi yang dilakukan di Pulau Bugaya, Semporna, baru-baru ini.

Sebaliknya, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh menjelaskan bahawa rumah tersebut tidak dirobohkan dan ia bukannya rumah milik balu anggota polis yang terkorban dalam insiden di Simunul pada 2013.

"Kami telah membuat penelitian terhadap isu berkenaan dan mendapati isu ini tidak benar, yang mana balu berkenaan tidak tinggal di rumah itu.

"Rumah itu milik ayahnya yang dibina pada tahun 1980-an dan yang tinggal di rumah ini adalah adiknya bersama anak-anak adiknya. Balu ini tinggal di tanah besar di Semporna dan mempunyai beberapa rumah sendiri.

"Semasa operasi dilakukan pihak penguat kuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan dan yang paling penting rumah ini tidak pernah dirobohkan, yang diroboh adalah beberapa rumah kosong dipercayai milik warga asing," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Khamis.

Jauteh berkata demikian susulan satu isu yang tular melibatkan perobohan rumah di sebuah pulau di Semporna yang telah dieksploitasi oleh pihak tertentu.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana rumah milik warga tempatan yang ditemui semasa operasi dilaksanakan tidak akan dirobohkan dan isu itu dieksploitasi adalah untuk melemahkan usaha pasukan keselamatan memerangi isu setinggan di negeri ini.

"Sebanyak 3,257 rumah yang telah dirobohkan dalam Op Koloni Setinggan ini, tiada satu pun rumah warga tempatan yang dirobohkan.

"Saya percaya bahawa isu ini telah dieksploitasi oleh golongan tertentu untuk cuba melemahkan operasi yang sedang dirancang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain untuk mengurangkan ataupun menghapuskan koloni setinggan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Untuk makluman juga penama ini juga mempunyai seorang anak dan anak dia sendiri pun pegawai kanan polis. Jadi ertinya golongan tertentu mengambil kesempatan untuk memanipulasikan apa juga isu untuk melemahkan usaha pihak berkuasa menghapuskan koloni setinggan PATI di Sabah," katanya.

Beliau dalam itu berkata, pihak PDRM tidak pernah mengabaikan kebajikan balu-balu yang terlibat dalam insiden berdarah di Semporna dan Lahad Datu.

"Selepas perkara ini, kita telah menghantar pegawai iaitu pemangku Ketua Polis Daerah Semporna sendiri untuk berjumpa dengan keluarga ini untuk mengetahui keadaan sebenar.

"Balu ini cuma mengatakan bahawa mungkin ada sedikit salah faham semasa proses itu berlaku apabila dikatakan bahawa pulau itu berada di kawasan Taman-Taman Sabah dan mungkin telah timbul sedikit isu apabila dia menyatakan bahawa dia berada di sana sejak tahun 1980-an lagi.

"Ya (kebajikan balu terjaga), sehingga kini balu ini masih lagi menerima sumbangan daripada pihak kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa pihak yang mengeksploitasi isu berkenaan adalah pihak yang sama menimbulkan isu perobohan rumah di pulau sekitar Semporna.

"Setakat ini ada satu laporan polis yang dibuat iaitu laporan berkaitan dengan operasi yang telah dilaksanakan.

"Kita akan akan lihat nanti keadaan ini, kaji dulu daripada beberapa sudut dan pihak polis tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan ke atas orang yang telah mengeksploitasi isu ini," tegasnya.

Sebelum itu, Sitti Bandora Mahalil balu kepada Allahyarham Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon membuat kenyataan melalui hantaran di Facebook mendakwa bahawa rumah di kampung halamannya dirobohkan.

Rumah tersebut didakwa dijadikan tempat mereka adik-beradik singgah untuk berkumpul ketika pulang bercuti di kampung. - Sinar Harian