KOTA BHARU: Rumah dan kenderaan milik seorang anggota Polis dari Pasukan Gerakkan Am (PGA) rosak selepas terkena bebola besi yang dipercayai dilepaskan daripada senjata angin dalam satu kejadian di belakang Sekolah Bechah Keranji, Melor, di sini pada pagi Isnin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 4 pagi  Isnin semasa anggota dan keluarganya sedang tidur.

"Pengadu terjaga daripada tidur setelah terdengar bunyi kuat seakan tembakan. Pengadu bangun dan membuat pemeriksaan di luar rumah dan telah terdengar bunyi tembakan kali kedua.

"Pada masa sama, pengadu melihat bayangan dua lelaki memegang lampu suluh melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Muhammad Zaki, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan cermin pecah di pintu kereta bahagian belakang.

Katanya, anggota berkenaan yang sedang bercuti turut membuat pemeriksaan di luar rumah dan mendapati cermin pintu 'sliding' depan pecah manakala cermin kereta milik abang iparnya turut terdapat kesan lubang sebesar guli.





"Anggota berkenan memaklumkan semasa kejadian, dia melihat kelibat suspek menyuluh ke arah rumah jiran yang kosong yang berada dalam jarak lebih kurang 15 meter dari rumahnya.

"Terdapat kesan disyaki tembakan pada bahagian dinding rumah dan pada bahagian cermin hadapan kenderaan pacuan empat roda milik abang iparnya," tambahnya.




Anggota berkenaan turut memaklumkan bahawa dia tidak terlibat dengan sebarang masalah hutang atau pergaduhan dengan mana-mana pihak.

Berdasarkan kesan itu, katanya pihak polis percayai suspek menggunakan senapang angin.




Muhammad Zaki berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan kes di siasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.