Rumah, 5 motosikal musnah dalam kebakaran di Tapah
Aida Aziz
September 21, 2022 21:25 MYT
September 21, 2022 21:25 MYT
TAPAH: Sebuah rumah dan lima motosikal musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Air Kuning, Kampung Baru, Air Kuning, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.
Katanya lagi, kebakaran membabitkan sebuah rumah kediaman kelas B berkeluasan 30x40 kaki.
"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu oleh BBP Kampar bergegas ke lokasi.
"Kemusnahan keseluruhan 80 peratus, terdapat lima buah motosikal, di mana dua daripadanya diparkir di luar rumah manakala tiga lagi di dalam rumah.
"Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kehilangan nyawa atau mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba kemudiannya menggunakan tiga aliran hose 300 kaki tiga pancutan dengan kaedah relay pumping dari air tangki jentera bantuan BBP Kampar.
"Beserta satu aliran hose air dari pili bomba, pemadaman dibantu oleh anggota dari BBP Kampar sehingga berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya lagi.
Operasi yang diketuai oleh Komander Operasi PKPgB, Nazri Che Nordin itu tamat pada jam 5 petang.