Rumah 40 tahun runtuh bahagian dapur akibat hakisan

Bernama
Januari 10, 2021 21:54 MYT
Rosmah berkata, kejadian itu menyebabkan empat tiang di bahagian dapur rumah runtuh sekali gus menyebabkan lantai kayu menjadi tidak rata. - BERNAMA
KOTA BHARU: Satu keluarga dari Kampung Surau Kota di sini berhadapan dengan saat mencemaskan apabila rumah yang didiami hampir 40 tahun ranap di bahagian dapur akibat hakisan banjir Sungai Kelantan.
Rosmah Deraman, 48, berkata kejadian kira-kira 7 malam semalam itu menyebabkan empat tiang di bahagian dapur rumah runtuh sekali gus menyebabkan lantai kayu menjadi tidak rata.
"Ketika kejadian, saya baru pulang dari Wakaf Che Yeh dan mendapat panggilan daripada anak, Nik Mohd Amirul Aiman Nik Lah, 15, memberitahu bahagian belakang rumah sudah dihanyutkan arus deras sungai ketika banjir ini.
"Syukurlah anak saya Nik Mohd Amirul Aiman dan Nik Siti Norhidayah Nik Lah (27 tahun), dan dua cucu, Nik Muhammad Adam Darwisy Nik Hilmi Khoidir (6) dan Nik Nur Izara Aisyah (3) sempat menyelamatkan diri setelah mendengar dentuman kuat dan mendapati tanah di belakang rumah menggelongsor perlahan-lahan," katanya ketika ditemui di Kampung Surau Kota hari ini.
Rosmah berkata hakisan sungai di belakang rumahnya didapati berlaku sejak enam tahun lepas iaitu paling ketara selepas banjir besar 'Bah Kuning 2014' dan kini jarak rumah dengan arus sungai hanya 0.3 meter sahaja.
Rosmah yang menjual surat khabar di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini berkata sebelum berlaku hakisan, rumah tersebut dibina jauh dengan tebing iaitu 500 meter dari jarak tapak rumah, namun ia terhakis sedikit demi sedikit setiap kali berlaku banjir.
"Apabila tiba musim tengkujuh, kami sekeluarga tidak lena tidur kerana terlalu bimbang rumah ini dihanyutkan sungai. Sekarang apa yang kami takuti sudah berlaku dan bernasib baik kerana ada penduduk memberi tumpang duduk di rumah kosong untuk kami berpindah tengah malam semalam.
"Keadaan ini menambah kerisauan tambahan pula saya menghidap penyakit tiroid sejak 1997 dan asma kronik," katanya.
Beliau merayu bantuan sebuah rumah daripada pihak berkaitan kerana pendapatan yang diperoleh RM20 sehari sekadar mampu membeli makanan dan keperluan harian sahaja, manakala suaminya Nik Lah Su, 49, hanya mengambil upah menebang pokok dengan pendapatan purata RM400 sebulan.
DI KUALA KRAI, lebih 100 penduduk Kampung Gilat mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan apabila jalan raya yang menjadi laluan penghubung utama mereka digenangi air sedalam tiga meter susulan banjir gelombang ketiga yang melanda sejak Rabu lepas.
Seorang penduduk Faridah Mat Sin, 61, berkata beliau sekeluarga hanya mengalas perut secara ala kadar sahaja sejak beberapa hari lepas dengan bekalan makanan yang sedia ada sehingga terpaksa mencatu kerana khuatir akan kehabisan makanan.
"Namun, syukurlah sumbangan bantuan tiba tepat pada waktunya (hari ini) ketika kami sangat memerlukan. Bagaikan rezeki turun dari langit. Inilah sumbangan pertama diterima oleh penduduk di sini yang telah terputus bekalan makanan sejak Rabu," luah Faridah.
Terdahulu, beliau serta penduduk lain menerima sumbangan barangan keperluan asas menerusi Misi Banjir McDonald's Malaysia dengan kerjasama Balai Polis Kuala Krai yang dihadiri oleh Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Ab Rahman Tuan Yunus, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohamad dan Pengurus Operasi McDonald's Malaysia Bahagian Pantai Timur Safna Sepian.
Seorang lagi penduduk di kampung yang sama Safiah Ibrahim, 45, berkata beliau bersyukur dengan bantuan barangan keperluan yang diberikan sekali gus dapat meringankan beban beliau sekeluarga terutamanya ketika menghadapi musibah banjir.
"Lagi meresahkan, saya mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun namun kini saya mampu menarik nafas lega," katanya.
Sementara itu, Safna berkata misi bantuan banjir kali ini menumpukan mangsa banjir yang terputus hubungan melibatkan barangan kering, ubat-ubatan dan sebagainya.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa #OKU #operasi #mati lemas #hakisan #banjir kelantan #rumah #kediaman #runtuh
;