Rukunegara sebuah gagasan berwawasan

Ishak Sairozi
Januari 18, 2017 16:57 MYT
Rukunegara ini seharusnya menjadi cita-cita murni setiap warganegara Malaysia dimana ia harus difahami dan dijadikan amalan hidup. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
RUKUNEGARA adalah ideologi nasional yang paling lama di negara ini. Sejak diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong pada 1970, nadi Rukunegara masih mengalir deras dalam era modenisasi ini. Biarpun ia cuba diketepikan oleh segelintir pihak dengan alasan peribadi dan alasan politik, Rukunegara tidak reput dek hujan, tidak lekang dek panas.
Tegap dan hebatnya Rukunegara ini dapat dilihat sedari awal penubuhannya. Peristiwa parang terbang, amukan berdarah dan rusuhan kaum yang memisahkan 3 kaum utama di sebuah negara majmuk ini telah berjaya dipadamkan dengan megahnya oleh Rukunegara. Hasil kesepakatan individu-individu penting dalam Majlis Perundingan Nasional dan Majlis Gerakan Nasional, lahirlah sebuah ideologi yang berfungsi sebagai air yang memadam api perkauman.
Rukunegara ini kemudian dikempen secara besar-besaran sedari awal penciptaannya. Apabila ia diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong pada 1970, maka seluruh negara pada ketika itu mengambil langkah besar-besaran untuk mempromosikan Rukunegara agar ia terus meresap ke dalam jiwa masyarakat Malaysia. Kempen oleh pegawai kerajaan, cadangan menjadikannya mata pelajaran dalam sukatan pelajaran di sekolah, penubuhan skuad sukarelawan penerangan Rukunegara dan sebagainya menjadikan inisiatif mempromosikan Rukunegara menjadi benar-benar hebat. Pada satu tahap, Rukunegara telah dijadikan sebagai suatu soalan wajib dalam temuduga untuk mereka yang hendak meminta kerja. Begitu besar peranan Rukunegara pada ketika itu.
Sekali bah, pantai berubah, perginya Allahyarham Tun Abdul Razak memperlihatkan bahawa Rukunegara sedikit demi sedikit diambil mudah dan dipandang lewa. Gagasan baru dicipta, ideologi baru cuba diterjemah dan sebagai akibatnya, Rukunegara diketepikan dan senyap sunyi ideologi ini tatkala tiada siapa yang memperjuangkannya. Tetapi adalah sukar untuk terus melupakan sebuah ideologi yang mempunyai tapak yang sudah kukuh di bumi masyarakat majmuk ini. Ternyata gagasan lain tidak mampu menandingi kepentingan yang dikandung dalam prinsip dan objektif Rukunegara yang dicipta oleh mereka yang benar-benar ikhlas ingin melahirkan masyarakat yang bersatu padu.
Dewasa ini, Rukunegara perlu diangkat semula tarafnya sebagai sebuah ideologi yang diterima umum. Rukunegara menjangkaui kepentingan politik, kepentingan individu dan kepentingan wang. Ia adalah satu kepentingan terhadap perpaduan negara yang sejak zahirnya dibina dengan sebuah ideologi yang cukup sifat baik dari segi matlamat dan juga prinsipnya. 5 matlamat dan 5 prinsip yang terkandung dalam Rukunegara ini seharusnya menjadi cita-cita murni setiap warganegara Malaysia dimana ia harus difahami dan dijadikan amalan hidup.
Lantaran menyedari hakikat ini, maka sekali lagi satu inisiatif digerakkan untuk meletakkan Rukunegara di tempat yang tertinggi yang boleh sampai ke seluruh jiwa masyarakat. Inisiatif yang dimaksudkan ialah meletakkan Rukunegara sebagai muqadimmah Perlembagaan Malaysia ( RMP). Inisiatif yang dibawakan oleh sekumpulan aktivis masyarakat disokong oleh Yayasan 1Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NG0) yang bebas yang bertindak sebagai sekretariat inisiatif ini. ‘Rukunegara Muqadimmah Perlembagaan’ ini seharusnya diambil sebagai suatu usaha yang tidak berkepentingan peribadi sebaliknya demi masa hadapan sebuah kedaulatan perundangan dan perpaduan generasi masa hadapan.
Amatlah elok sekiranya, sebuah negara membangun yang memasuki ke era negara maju untuk mempunyai sebuah perlembagaan yang setaraf dengan negara maju yang lain iaitu mempunyai sebuah muqadimmah perlembagaan yang menepati ciri-ciri dan keperluan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Justeru, Rukunegara dipilih sebagai muqadimmah perlembagaan kerana objektif dan prinsipnya adalah jantung dan hati kepada perlembagaan Malaysia. Rukunegara merupakan sebuah ringkasan mudah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh setiap warganegara Malaysia yang mencerminkan negara ini secara menyeluruh. Oleh yang demikian, pelaksanaan Rukunegara sebagai muqadimmah kepada perlembagaan adalah sesuatu yang perlu untuk kita sama-sama pertingkatkan semula nilai Rukunegara disamping melengkapkan kekurangan perlembagaan Malaysia yang masih belum mempunyai muqadimmah.
Percayalah, inisiatif ini bukan suatu kerja yang sia-sia. Inisiatif ini adalah satu langkah yang mempunyai serampang dua mata. Pertama, untuk mengembalikan sebuah kegemilangan satu ideologi yang ditinggalkan dan perlu kita jaga. Kedua, untuk perlembagaan kita, mempunyai sebuah muqadimmah yang mencerminkan warganegara Malaysia yang bagaimana yang hendak kita potretkan kepada khalayak ramai. Ini adalah tugas kita semua untuk menggerakkan semula sebuah ideologi nasional untuk kembali menjadi buah mulut masyarakat. Ini adalah tugas kita semua untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dibawah panji perlembagaan negara kita. Ini adalah masa untuk kita semua menggembleng tenaga untuk mencari jalan meningkatkan kembali rasa perpaduan kita antara sesama bangsa tanpa mengira kaum.
Lantas, marilah seluruh warganegara Malaysia, tidak kira yang berada paling tinggi di bangunan di Putrajaya hinggalah mereka yang selesa hidup bersama mergastua. Kecaknaan kita akan membawa kita berhasil untuk mengembalikan kegemilangan Rukunegara. Kita perlu bersatu-padu dalam memberikan sokongan agar usaha murni ini dapat mendatangkan hasil kepada bukan saja diri kita, malah kepada generasi cucu cicit kita. Jadikan Rukunegara muqadimmah perlembagaan, semoga Malaysia akan kekal hidup dalam kibaran perpaduan.

* Ishak Sairozi merupakan Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
**Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Malaysia #Perlembagaan #Rukunegara
;