Rukun Negara telah gagal, kata Setiausaha Agung MCCBCHST

Haider Yutim
September 18, 2013 07:45 MYT
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), Prematilaka KD Serisena beranggapan bahawa prinsip Rukun Negara di Malaysia telah gagal.
Menurutnya ia dikatakan gagal kerana ia tidak diimplimentasikan dengan sepenuhnya.
“Kedaulatan undang-undang diperintah oleh undang-undang. Keluruhan perlembagaan… di mana perlembagaan? Mereka menukar perlembagaan,” katanya dalam satu sesi forum tentang Hari Malaysia.
Katanya ramai yang tidak mahu mengibarkan bendera negara kerana mereka tidak gembira dengan cara negara ditadbir.
“Itulah mesej yang orang ramai sedang buat,” kata Prematilaka.
Menurutnya, sifat patriotisma bukanlah hanya ditunjukkan dengan kibaran bendera, ia lebih kepada rasa tanggungjawab dan ia perlu dipupuk.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat bahawa nilai patriotisma di negara sedang berada di tahap paling bawah.
“Jika dinilai daripada Jalur Gemilang yang ada di atas kenderaan, premis-premis perniagaan dan rumah-rumah, tiada siapa yang berani mencabar jika saya katakan patriotisma sedang berada di tahap paling bawah,” katanya.
Jelasnya jika patriotisma dikaitkan dengan sokongan kepada kerajaan hari ini, kata beliau ia mungkin tidak akan mencetuskan semangat yang diinginkan.
Menurutnya ini kerana semangat patriotisma harus berkait dengan negara dan bukannya parti kerajaan yang tertentu.
“Dalam suasana hari ini ketika 51 peratus rakyat Malaysia tidak menunjukkan sokongan terhadap kerajaan hari ini, janganlah dipaksa,” tambahnya.
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), sebuah badan berkecuali yang menggabungkan 25 organisasi masyarakat sivil pelbagai kaum dan pelbagai agama, telah menganjurkan sebuah forum bertajuk ‘50th Malaysia Day: Understanding, Accepting and Celebrating Diversity’ (Hari Malaysia ke-50: Memahami, menerima dan menyambut kepelbagaian).
Menurut GBM, forum ini diadakan bagi menyediakan platform untuk rakyat Malaysia untuk berkumpul dan memberi fokus kepada nilai-nilai positif dalam negara kita.
Antara panelis yang hadir ialah Pengarah Sekretariat Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Agung Kehormat MCCBCHST Prematilaka KD Serisena, Setiausaha Politik bagi Tan Sri Joseph Kurup iaitu Vincent Wong, serta Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Syed Ibrahim Syed Noh selaku moderator.
#bendera #Dr Dzulkefly Ahmad #patriotisma #prematilaka kd serisena #Rukun Negara