Rukun Negara perlu diajar di setiap peringkat institusi pendidikan - Rais Yatim

Hakim Rahman
Jun 28, 2015 16:10 MYT
RAIS: Definisi pemakaian yang sesuai dan tidak mencolok mata boleh ditentukan sendiri jabatan kerajaan. -Gambar fail
Rukun Negara perlu diajar di setiap peringkat institusi pendidikan agar ia dapat memupuk kembali nilai budi dan budaya masyarakat Malaysia.
Cadangan itu kemukakan penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang melihat ia sebagai antara elemen penting untuk mewujudkan negara bangsa.
Ini kerana soal etika berpakaian di pejabat kerajaan yang timbul baru-baru ini, menurut Rais, bukan hanya mengenai pakaian yang sesuai, tetapi membabitkan isu nilai dan kemasyarakatan.
"Kita boleh gunakan ketatasusilaan di bawah Rukun Negara yang kelima. Cuma masalahnya Rukun Negara ini tidak dispesifikkan dalam pendidikan di tanah air kita.
"Intisari Rukun Negara ini hanya habis dalam pengiklanan politik, tetapi tidak menjalankannya dalam pendidikan sebenar,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, Rukun Negara juga perlu diajar bersama budi dan budaya agar kefahaman masyarakat mengenainya dapat diberikan secara menyeluruh.
“Ini (Rukun Negara) perlu diajar kerana pengaruh nilai barat yang keterlaluan begitu meluas dalam kehidupan kita hari ini sehingga kita tidak dapat mengawalnya mengerusi pengaruh akhbar dan pengaruh iklan yang tidak begitu banyak,” katanya lagi.
Rukun Negara diperkenalkan pada 1970 selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.
BACA: Kembali kepada Rukun Negara - Kurup
Rais merujuk kepada kejadian awal bulan ini di mana seorang wanita yang tidak dikatakan gagal mematuhi pemakaian yang sesuai untuk berurusan di pejabat kerajaan telah diminta memakai kain sarung yang disediakan kakitangan pejabat itu.
BACA: Wanita disuruh pakai kain batik di pejabat JPJ
BACA: JPJ mohon maaf atas insiden kain batik
Tambah Rais, pengertian Rukun Negara perlu dijelaskan serta dijadikan pegangan jika mahu mewujudkan masyarakat yang patuh kepada undang-undang.
Mengulas lanjut, Rais berkata definisi pemakaian yang sesuai dan tidak mencolok mata boleh ditentukan sendiri jabatan kerajaan.
#budaya #masyarakat malaysia #negara bangsa #Rais Yatim #Rukun Negara
;