Rukun Negara bina kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran bersama

Bernama
September 14, 2020 05:23 MYT
Muzaffar Shah (kiri) dan Hasnita (kanan) melawat pameran Rukun Negara selepas Majlis Jerayawara Semarakkan Sambutan 50 Tahun Negara di Perpustakaan Sultan Abdul Samad UPM, Serdang, 14 Sept, 2020. --fotoBERNAMA
Rukun Negara harus dihayati masyarakat majmuk di negara ini bagi mencapai kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran bersama.
Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM) Muzaffar Shah Kassim berkata, penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara merupakan tunjang utama kepada perpaduan dan penyatuan bangsa Malaysia.
"Masyarakat harus memahami aspek budaya hormat-menghormati antara satu sama lain untuk mencapai satu negara yang sejahtera, aman dan makmur.
"Masyarakat juga perlu memikirkan kewujudan Hari Malaysia adalah penting dalam sejarah negara, kerana tanpa perpaduan kaum dan bangsa, matlamat itu mungkin tidak dapat dicapai seperti diharapkan," katanya ketika ditemui pada program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Rukun Negara Ke-50 anjuran Bernama, di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM pada Isnin.
Beliau turut memetik kata-kata Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, iaitu 'Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah pada amalannya, tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna'.
Sementara itu, Penyelaras Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Hasnita Ibrahim, menyerahkan bahan promosi berkaitan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara kepada Muzaffar Shah untuk dihebahkan kepada pengunjung, di perpustakaan berkenaan.
"Perpustakaan adalah pusat komuniti yang sangat besar dan apa sahaja yang dianjurkan perpustakaan pasti akan mendapat sambutan. Ia tidak terhad kepada hanya petugas perpustakaan, malah kepada seluruh masyarakat," kata Hasnita.
Hasnita berkata, penganjuran program jerayawara melibatkan perpustakaan dan sekolah itu berjalan lancar dan meriah walaupun dalam norma baharu ekoran penularan COVID-19.
Jerayawara itu yang bermula sejak 24 Ogos, melibatkan 33 lokasi terpilih termasuk 16 sekolah di seluruh negara sebelum berakhir esok (15 Sept).
Program itu turut memberi peluang kepada Bernama mempromosi penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara, serta galakan menyertai aktiviti dan program anjuran Bernama antaranya 'Insta Challenge', 'Rukun Negara Hour', Webinar, 'e-Treasure Hunt', Bual Bicara Bersiri dan dokumentari.
-- BERNAMA
#50 Tahun #COVID-19 #Hari Malaysia #Hasnita Ibrahim #jerayawara #keamanan #kesejahteraan #lima prinsip #Muzaffar Shah Kassim #perpaduan #perpustakaan #Rukun Negara #sekolah #UPM
;