Rujuk ramalan cuaca sebelum bercuti di Pahang
Bernama
September 28, 2024 09:45 MYT
September 28, 2024 09:45 MYT
KUANTAN: Orang ramai yang ingin berkunjung ke Pahang dinasihatkan merujuk kepada maklumat ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) terlebih dahulu, susulan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata masyarakat juga, diminta mematuhi notis yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, antaranya oleh Jabatan Perhutanan Pahang yang menyelia beberapa tempat rekreasi tumpuan pelancong.
"Ada sesetengah tempat pelancongan tidak sesuai untuk pengunjung dan kita berharap mereka boleh rujuk notis daripada agensi terbabit, sebab di Pahang kekuatan pelancongan kita ialah ekopelancongan.
"Bila cuaca sebegini, lokasi pendakian dan air terjun sudah tentu berisiko, jadi pengunjung tempatan dan pelancong luar diminta patuhi arahan diberikan pihak berkenaan," katanya selepas merasmikan Festival Moh Ngopi 2.0 di sini semalam.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept dan berterusan sehingga awal November.
Beliau dilaporkan berkata permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei dan negara diramal akan menerima tiupan angin lemah daripada pelbagai arah.
Mengulas mengenai Festival Moh Ngopi yang berlangsung bermula semalam sehingga esok, Leong berkata ia antara lain menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat, selain dapat menjadikan negeri Tok Gajah itu sebagai hub bagi pencinta kopi di Malaysia.
"Kerajaan negeri menerusi Tourism Pahang akan terus komited dan konsisten dalam menganjurkan acara sebegini, dalam usaha memastikan industri pelancongan khususnya pelancongan gastronomi di negeri ini berkembang maju," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai isu daftar masuk hotel pada pukul 4 petang, berlaku di negeri itu.
"Kami berpandangan isu yang dibangkitkan ini terpencil dan di Pahang masih terkawal dan kita sentiasa berhubung rapat dengan persatuan hotel yang memaklumkan isu itu bukan berlaku di Pahang," katanya.
Baru-baru ini tular isu berhubung tindakan segelintir pihak hotel menetapkan waktu daftar masuk bermula pada 4 petang dan daftar keluar seawal 11 pagi.
-- BERNAMA