Rujuk Perhilitan untuk lesen, permit khas hidupan liar - Wan Junaidi

Bernama
Februari 17, 2017 19:09 MYT
WAN JUNAIDI: Mereka yang berminat menjalankan aktiviti berkaitan hidupan liar perlu merujuk Perhilitan terlebih dahulu berkaitan keperluan berkenaan. - Gambar fail
Mereka yang berminat menjalankan aktiviti berkaitan hidupan liar perlu merujuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlebih dahulu berkaitan keperluan untuk mendapatkan lesen, permit dan permit khas hidupan liar.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata individu yang masih menyimpan atau memiliki hidupan liar tanpa dokumen yang sah daripada Jabatan Perhilitan dinasihatkan tampil membuat serahan.
"Beri kerjasama kepada Jabatan Perhilitan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang lelaki warga tempatan mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di Mahkamah Sesyen Kajang, kerana menyimpan beberapa hidupan liar yang dilindungi tanpa dokumen yang sah.
Lelaki berumur 51 tahun itu ditahan penguat kuasa Jabatan Perhilitan pada 19 Okt lepas kerana menyimpan pelbagai spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716 tanpa suatu dokumen yang sah di premis kediamannya di Kajang.
Hidupan liar itu ialah dua ekor burung Murai Jambul Putih (Copsycus stricklandii) dan masing-masing seekor harimau belang (Panthera tigris) betina, kucing batu (Prionailurus bengalensis) betina, burung Helang Merah (Haliastur indus), burung Gagak Gunung (Cissa chinensis), buaya jenis Schneider's Dwarf Caiman (Paleosuchus trigonatus), Pelanduk (Tragulus javanicus), burung Tiong Mas (Gracula religiosa) dan burung Murai Batu (Copsychus malabaricus).
"Orang ramai diharap terus memberi sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga Jabatan Perhilitan melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan," kata Wan Junaidi.
-- BERNAMA
#Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716 #Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Perhilitan
;