Rujuk MQA, elak ditipu - Maszlee
Astro Awani
Februari 11, 2019 16:08 MYT
Februari 11, 2019 16:08 MYT
Individu yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi digalakkan merujuk terlebih dahulu dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata MQA merupakan agensi yang akan mengenal pasti semua program yang diakreditasi di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT), lapor Bernama.
"Jadi kepada semua yang ingin melanjutkan pengajian kementerian menggalakkan mereka rujuk dengan MQA supaya tidak tertipu.
"MQA sudah membuat piawaian yang tinggi untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Sekolah Rendah kebangsaan Taman Pelangi, di sini, hari ini.
Semalam, sebuah akbar berbahasa Cina tempatan melaporkan beberapa universiti di luar negara menjadi 'kilang ijazah' dengan menawarkan 'kelayakan akademik' kepada pemohon secara dalam talian tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.
Menurut laporan itu, keadaan demikian berlaku terutamanya membabitkan 'universiti' yang dikatakan dari Amerika Syarikat yang beroperasi dari rumah kedai atau pejabat kecil.
#Agensi Kelayakan Malaysia
#IPT
#kelayakan akademik
#kilang ijazah
#Maszlee Malik
#Menteri Pendidikan
#MQA
#Sekolah Rendah kebangsaan Taman Pelangi