Rujuk kepada JKM jika hadapi masalah jaga anak OKU - Rohani
Bernama
Jun 22, 2014 17:34 MYT
Jun 22, 2014 17:34 MYT
Ibu bapa yang tidak mampu menjaga anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) disaran merujuk masalah mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada menganiayai anak-anak istimewa itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata walaupun sering kali menekankan penglibatan JKM adalah cara terakhir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun jika tiada penyelesaian pihaknya tidak menolak untuk mengambil alih tanggungjawab itu.
"Bagi saya daripada mereka mendera, membiarkan tanpa arah, serta mengabaikan anak-anak istimewa yang seharusnya dibantu itu, kalau betul-betul ibu bapa tidak mampu lagi sila serahkan kepada kami, Insya-Allah kita akan meletakkan anak-anak OKU ini di dalam institusi kementerian untuk kita pulihkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kes remaja OKU yang ditemui dikurung dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah di Nilai, dua hari lalu.
Sebelum itu, beliau menghadiri majlis makan malam Selami Kasih dan Apresiasi Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Rohani berkata jika ibu bapa anak-anak OKU ingin terus menjaga anak-anak istimewa itu biarpun menghadapi masalah, pihaknya masih mampu menyalurkan bantuan menerusi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
"Ada 488 buah PDK di seluruh negara ketika ini. Seperti yang saya sebut tadi, penglibatan JKM adalah jalan terakhir kerana kita hendak semua OKU ini tidak dipisahkan daripada keluarga dan pemulihan boleh dilakukan di dalam komuniti menerusi PDK itu sendiri," katanya.
Rohani berkata PDK ini diwujudkan sebagai program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di institusi.
"PDK merupakan satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri di mana memberi peluang kepada OKU menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat," katanya.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
#Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim
#menteri pembangunan wanita
#OKU dijumpai di Nilai
#orang kurang upaya (OKU)