Kesemua pihak menggunakan perkhidmatan kawalan keselamatan dinasihat merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar menepati garis panduan ditetapkan kementerian itu.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata KDN mempunyai senarai syarikat kawalan keselamatan bermasalah serta diberikan amaran terakhir dan ia boleh digunakan sebagai rujukan sebelum mereka membuat keputusan melantik mana-mana syarikat kawalan keselamatan.

"KDN amat memandang serius syarikat kawalan keselamatan yang gagal memberi perkhidmatan seperti ditetapkan dalam garis panduan kementerian.

"Kita bukan bermaksud campur tangan dalam urusan pelantikan syarikat kawalan keselamatan oleh kementerian dan agensi swasta, tetapi KDN tidak mahu dipersalahkan jika ada syarikat kawalan keselamatan gagal memberi perkhidmatan selaras dengan garis panduan ditetapkan kementerian," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Nur Jazlan berkata pada Jun lepas, pihaknya mengedarkan senarai semua syarikat kawalan keselamatan yang dikenakan tindakan amaran terakhir dan sudah dibatalkan lesen kepada semua kementerian, untuk dimaklumkan kepada jabatan, agensi dan pihak swasta.

Nur Jazlan berkata dengan adanya langkah proaktif daripada pihak berkenaan untuk merujuk kepada KDN sebelum membuat pelantikan, akan dapat mengelak berlakunya masalah pada masa hadapan.

"Sebelum ini ada pendedahan dibuat oleh media berhubung penggunaan pengawal keselamatan yang tidak berkelayakan seperti di sekolah-sekolah dan atas sebab itu, adalah lebih baik sebelum pelantikan dibuat, semua pihak perlu merujuk dahulu kepada KDN dan kita akan beri maklum balas dengan segera sama ada syarikat terbabit bermasalah atau tidak," katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan turut mengingatkan Pengurusan Badan Bersama (JMB) kondominium, apartment dan taman perumahan supaya menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan berlesen serta memastikan pegawal keselamatan yang diambil adalah sah dan berdaftar dengan KDN.

"Jika mereka didapati menggunakan syarikat kawalan keselamatan haram dan pengawal keselamatan asing haram, kita akan ambil tindakan terhadap majikan bukan sahaja syarikat keselamatan berkenaan tetapi juga JMB terbabit kerana menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.