Rugi RM5,500 selepas diperdaya rakan media sosial
Bernama
Jun 12, 2019 05:51 MYT
Jun 12, 2019 05:51 MYT
Hadiah tak dapat, duit pula hilang. Itu nasib seorang kerani wanita yang diperdayakan lelaki yang baharu dikenali selama sebulan di laman sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 29 tahun mendakwa kerugian RM5,500 yang kononnya bayaran bagi mendapatkan hadiah kiriman lelaki tersebut.
Katanya, mangsa yang bekerja di Rompin dekat sini, mendakwa suspek yang dikenalinya sejak awal Mei lepas, menghubunginya pada pagi semalam, untuk memberitahu ada membuat kejutan dengan menghantar hadiah kepadanya.
"Mangsa mendakwa dihubungi pula seorang wanita kononnya wakil syarikat penghantaran dan meminta mangsa untuk melakukan transaksi perbankan bagi mendapatkan hadiah tersebut.
Mungkin teruja dengan kiriman itu, mangsa terus mengikut arahan yang diberikan sebelum berasa curiga kerana diminta pula membayar wang tambahan sebanyak RM18,800," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Mohd Wazir berkata mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Endau, Johor dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang
#laman sosial
#media sosial
#Pahang
#Penipuan duit
#Rompin