Rugi RM2,000 disamun 'pelanggan' dodol
Sinar Harian
September 27, 2021 06:44 MYT
September 27, 2021 06:44 MYT
ALOR GAJAH: Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli dodol sebelum menyamun rantai emas seorang wanita di sebuah rumah di Kampung Air Tanai Ayer Paabas, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi, wanita berusia 54 tahun yang merupakan peniaga dodol itu didatangi suspek dipercayai berusia 20an ketika berseorangan di rumah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, bagaimanapun ketika urusan jual beli dilakukan suspek telah bertindak meragut rantai yang dipakai dileher mangsa menyebabkan dia mengalami kerugian RM2,000.
"Suspek turut mengambil dodol bernilai RM30 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan nombor pendaftaran belum diperoleh.
"Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian membuat laporan polis di balai polis berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, polis sedang mengesan suspek dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.