Ruangan 'kaum' dalam borang digugurkan - Entulu

Bernama
Mei 8, 2014 01:32 MYT
Kabinet hari ini memutuskan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah digugurkan.
Kabinet hari ini memutuskan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah digugurkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.
Bercakap dalam sidang media di sini, beliau berkata kerajaan menilai setiap kewajaran sebelum memutuskan menggugurkan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan.
"Berdasarkan trend, kita memang nak menggugurkan ruang kaum dalam borang tetapi bukan sekarang. Ia akan dilaksanakan kemudian secara perlahan-lahan.
"Buat masa ini, kita mengambil langkah gugurkan yang tiada nilai tambah sahaja," katanya, sambil memberikan contoh borang seperti permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Skim Pinjaman Perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.
Terdapat lebih 120 borang rasmi kerajaan yang telah menggugurkan ruang kaum sehingga kini.
Entulu berkata terdapat tiga kategori borang yang masih mengekalkan maklumat identiti kaum kerana ia berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara kedudukan dan kepentingan sah kaum-kaum di Malaysia.
Bagi kategori kedua pula maklumat identiti kaum diperlukan untuk memenuhi keperluan perundangan seperti perundangan tanah, pendidikan, perniagaan dan kaedah-kaedah diwartakan di bawah semua akta, katanya.
Kategori ketiga, maklumat kaum diperlukan bagi tujuan penyelidikan dan perancangan antaranya mengenai kawalan penyakit, penambahbaikan pendidikan, kajian demografi penduduk dan perancangan kemudahan dan pembangunan, katanya.
Entulu bagaimanapun berkata agensi kerajaan digalakkan menggugurkan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan walaupun setakat ini tiada arahan ataupun surat pekeliling dikeluarkan.
#borang rasmi #Joseph Entulu Belaun #kaum