Ruang udara Langkawi ditutup bermula esok, pengoperasian dron dilarang

Bernama
Mei 17, 2023 20:11 MYT
Pesawat TUDM menjalani latihan awal di ruang udara Pangkalan Udara Butterworth, bagi menjayakan pertunjukan udara sempena LIMA'23. - Bernama
PUTRAJAYA: Ruang udara Langkawi ditutup bermula esok sehingga 27 Mei ini seperti yang dinyatakan dalam Aeronautical Information Publication (AIP) Supplement sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA '23), kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Norazman Mahmud,
Beliau berkata turut dilarang dalam tempoh berkenaan adalah pengoperasian dron bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai serta pesawat yang sedang beroperasi di ruang udara Langkawi.
"Penggunaan dron tanpa kelulusan dikhuatiri akan mengganggu latihan dan pertunjukan udara sepanjang penganjuran LIMA '23," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3], Peraturan 98 dan Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs), katanya.
Pameran LIMA '23 akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini, dengan lebih 600 syarikat dari 60 negara dijangka mengambil bahagian.
Kali terakhir LIMA diadakan adalah pada 2019, dan ia tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.
-- BERNAMA
#Lima #ruang udara #Langkawi #dron #pesawat #pameran
;