Ruang penginapan pekerja asing sempit, panas dan tidak teratur diserbu JTKSM
Bernama
Oktober 3, 2023 20:29 MYT
Oktober 3, 2023 20:29 MYT
SEREMBAN: Tidak teratur, sempit dan panas, begitulah keadaan kontena yang menempatkan kira-kira 52 pekerja asing Nepal dan Bangladesh yang dibongkar Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerusi Operasi Matela di sini hari ini.
Operasi diketuai Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud mendapati 12 kontena disediakan oleh majikan dalam sektor perkilangan tilam itu tidak mendapat Perakuan Penginapan Jabatan Tenaga Kerja.
Pemerhatian mendapati keadaan pendawaian elektrik di setiap kontena berkenaan juga tidak teratur dan membahayakan keselamatan pekerja selain keadaan kontena yang gelap.
"Penginapan ini tidak menepati Akta 446, tempat tinggal pekerja asing dalam kontena agak panas kerana tiada pengudaraan baik, struktur bangunan juga telah berkarat, ia membahayakan pekerja. Kontena ini telah dibina dalam 15 tahun.
Selain itu juga, tempat memasak dan ruang mandi pekerja ini tidak diuruskan dengan baik, kita harap majikan mengambil serius perkara ini, mereka perlu patuhi akta ditetapkan supaya kebajikan pekerja terjaga," katanya kepada pemberita selepas operasi di kilang terbabit.
Beliau berkata majikan terbabit menggajikan lebih 160 pekerja termasuk 60 pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing selain turut menyediakan pangsapuri bagi pekerja lain.
Katanya pihak majikan itu mendapat Perakuan Penginapan daripada JTK bagi pangsapuri berkenaan namun tidak memohon Perakuan Penginapan bagi penginapan jenis kontena di dalam kilang itu.
Beliau berkata majikan tersebut didapati melakukan pelanggaran terhadap Jabatan melalui Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] di bawah JTKSM dan siasatan terperinci dijalankan bagi melihat pematuhan terhadap akta-akta lain termasuklah Akta Kerja 1955 dan Perintah Gaji Minimum.
Katanya JTK Negeri Sembilan membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan jabatan dan agensi lain dalam operasi terlibat turut mengambil tindakan susulan secara terperinci selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing.
-- BERNAMA