Ruang menunggu disediakan untuk ahli keluarga penumpang MH370
Zan Azlee
Mac 8, 2014 15:32 MYT
Mac 8, 2014 15:32 MYT
Satu ruang menunggu telah disediakan khusus untuk ahli keluarga penumpang penerbangan pesawat Boeing 777 MH370 di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang oleh Malaysia Airlines dan Malaysia Airports.
Beberapa individu yang kelihatan sedih dan bingung dilihat memasuki kawasan itu. Walau bagaimanapun, tidak ada satu pun bersedia untuk memberi sebarang komen apabila didekati.
Beberapa wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) Buddha Tzu Chi dipercayai memberi sokongan emosi secara sukarela kepada ahli keluarga sementara menanti berita terkini.
MH370, penerbangan perkongsian kod bersama China Southern Airlines, berlepas dari KLIA untuk Beijing pada 12:41 pagi tadi.
Segala komunikasi dengan pesawat itu hilang pada 2:40 pagi dan tiada isyarat kecemasan atau panggilan diterima.
Penerbangan itu membawa 239 penumpang, 38 daripada mereka dari Malaysia. Ia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pukul 6:30 pagi waktu tempatan.