Ruang menunggu di stesen atas Bukit Bendera naik taraf pertengahan 2020

Astro Awani
Disember 10, 2019 09:56 MYT
Chow (depan) hari ini dibawa melawat kawasan sekitar Bukit Bendera yang terjejas akibat ribut tropika yang melanda pada November 2017. - Astro AWANI
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) akan melaksanakan kerja menaik taraf pakej keempat iaitu penambahbaikan ruang menunggu di stesen atas Bukit Bendera pertengahan tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, penambahbaikan itu perlu berikutan ruang menunggu di stesen atas amat terhad kepada pengunjung Bukit Bendera.
Beliau berkata, projek itu akan dimulakan pada pertengahan 2020 dalam usaha pihaknya memberi kepuasan serta pengalaman kepada pelancong sewaktu berada di kawasan peranginan itu.
Menurutnya, kebiasaannya orang ramai perlu menunggu sehingga dua atau tiga jam, malah suasana akan menjadi sesak apabila hujan.
Justeru, dengan penambahbaikan ruang itu kelak, kawasan atas yang dilengkapi astaka dan cafe itu boleh menampung kapasiti 2,000 pengunjung.
"Satu projek yang akan mula tahun depan adalah pakej ke-4 di stesen atas. Kita telah menyaksikan pakej tiga stesen di bawah, melibatkan penambahan lot komersial.
"Di stesen atas, ruang menunggu amat kecil. Fasa ke-4 melibatkan tambahan ruang menunggu kepada pelawat yang mahu turun. Ia dijangka akan mula pada 2020," katanya.
Chow berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan penyelesaian empat projek pemulihan dan penambahbaikan infrastruktur Bukit Bendera selepas melawat kawasan itu.
Dalam lawatan itu, Chow dibawa melawat kawasan terjejas akibat ribut tropika yang melanda pada November 2017 di sekitar Bukit Bendera.
Antara projek yang terlibat adalah penstabilan cerun membabitkan empat kawasan tanah runtuh di sepanjang Upper Tunnel Road dan cerun di kawasan kuil Sri Aruroli Thirumurugan, Masjid Bukit Bendera dan Bel-Retiro.
Projek (Upper Tunnel Road) bermula pada 12 Septemper 2018 telah siap pada 17 Oktober 2019 dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.35 juta.
Manakala projek di kawasan kuil dan masjid yang menelan kos sebanyak RM2.73 juta siap pada 11 Mac 2019.
“Kerja-kerja ini menelan belanja sebanyak RM6.35 juta, bertujuan mengkukuhkan kawasan yang dikenalpasti, dengan kerja penstabilan cerun melibatkan kaedah soil.
"Dan penstabilan cerun di kuil masjid Bukit Bendera dan banglo. Projek ini berjumlah RM2.73 juta dan siap 11 Mac 2019,” katanya.
Selain itu, projek lain termasuk membaik pulih dan menambah baik tangki septik komunal A, B dan C bernilai RM2.47 juta serta projek nurseri tumbuhan di Jalan Tuanku Yahya Petra bernilai RM90,000.
#Bukit Bendera #Chow Kon Yeow #Ketua Menteri #naik taraf #pelancong #PHC #ribut #ruang menunggu #Stesen Atas #tanah runtuh #upper tunnel road
;