Ruang khemah sempit di Mina di luar bidang kuasa TH - Syed Salleh

Bernama
Jun 22, 2024 19:49 MYT
Syed Salleh berucap ketika menyambut ketibaan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia KT02 dari Madinah, seramai 281 orang yang tiba dengan menaiki tujuh buah bas, 15 Mei 2024. -Gambar fail/Bernama
MAKKAH: Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata isu keadaan khemah yang sempit semasa di Mina adalah di luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berkata ini kerana setiap negara telah diperuntuk dengan keluasan tanah tertentu berdasarkan jumlah kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Seperti yang kita sedia maklum, sempadan di Mina telah ditetapkan serta terhad dan itulah sempadannya. Sama ada nak letak keseluruhan jemaah sejuta, lima juta atau 10 juta orang itulah sahaja jumlah keluasannya di Mina.
"Keluasan tapak perkhemahan di Mina ditentu berdasarkan agihan Maktab oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, bukannya Tabung Haji. Kuota Malaysia ialah 31,600 jemaah haji sahaja dan telah diperuntuk dengan keluasan tertentu," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan 315 Sahabat Maktab di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.
Syed Salleh berkata bagaimanapun, dalam usaha memberi keselesaan kepada jemaah haji, TH sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa termasuk menyediakan pendingin hawa tambahan, permaidani lebih tebal dan memasang jubin seramik di tapak khemah.
Begitu juga dengan rungutan mengenai bilangan tandas yang terhad, katanya TH telah mengajukan permohonan untuk meningkatkan kemudahan itu namun kerajaan Arab Saudi memaklumkan jika ia ditambah, ruang khemah akan menjadi lebih kecil.
Beliau berkata justeru itu, TH akan mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan tandas bertingkat yang ada ketika ini selain mengesyorkan khemah bertingkat.
Pada majlis itu, Syed Saleh turut merakamkan penghargaan kepada 315 Sahabat yang mewakili sembilan Maktab terdiri daripada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang telah memberikan khidmat secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
"Kami amat bersyukur selain mempunyai tenaga kekuatan petugas haji seramai 670 orang, kami berbesar hati dan gembira mempunyai tenaga kerja tambahan dalam kalangan Sahabat Maktab," katanya.
Beliau turut memuji sikap Sahabat Maktab yang melakukan tanggungjawab dengan penuh sabar ketika menyantuni jemaah serta dedikasi termasuk mengorbankan masa beribadat dan berdoa semasa wukuf di Arafah.
Syed Saleh turut melancarkan logo Sahabat Maktab yang pertama kali diperkenal pada 2006.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Syed Salleh Syed Abdul Rahman #khemah sempit #Tabung Haji
;