Ruang 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan: Patutkah ia digugurkan?
Astro Awani
Mei 8, 2014 07:49 MYT
Mei 8, 2014 07:49 MYT
Kontroversi mengenai pengguguran ruang ‘kaum’ dalam borang rasmi kerajaan menjadi topik bualan hangat di kalangan rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata semasa sidang media pada Rabu bahawa Kabinet telah memutuskan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah digugurkan.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Khamis menjelaskan pihak kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan dan seterusnya menyaksikan permohonan maaf dibuat oleh Entulu pada Khamis.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali mahu menyaman kerajaan sekiranya kerajaan mengugurkan ruangan 'kaum' dimana ini telah menyebabkan Ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang mencabar Ibrahim Ali untuk menunjukkan peruntukan manakah dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan kerajaan memasukkan ruang 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan.
Dalam kehangatan kontroversi ini, Astro AWANI telah menemubual beberapa warga tempatan bagi mendengar sendiri pendapat mereka mengenai perkara ini. Ada yang bersetuju untuk pemansuhan ini dilakukan tetapi ada yang berfikiran penggunaan ruangan ‘kaum’ ini adalah penting. Berikut merupakan antara pendapat yang mereka kongsikan.
- Amri Anuar, 34, dari Kuala Lumpur: “Saya setuju jika ruangan ‘kaum’ digugurkan kerana ia boleh mewujudkan perpaduan, tidak perlu membezakan kaum di kalangan warga Malaysia, terutama sekali jika kita benar-benar serius dalam menggalakkan semangat 1Malaysia. Malah kita juga sepatutnya memansuhkan sekolah vernakular jika kita mahu generasi akan datang untuk berinteraksi dengan lebih baik dia antara satu sama lain.”
- Ng May Yee, 29, dari Kuala Lumpur: “Saya sokong jika ruangan ‘kaum’ dimansuhkan dalam borang rasmi kerajaan kerana saya secara peribadi merasa didiskriminasi setiap kali hendak mengisi ruangan tersebut. Dari kecil saya rasa didiskriminasi hanya kerana saya berbangsa Cina. Jika Perdana Menteri betul-betul serius dengan usaha 1Malaysia ini, penggunaan ruangan ‘kaum’ ini perlu digugurkan.”
- P. Gayatri, 44, dari Taiping, Perak: “Ya, kita tidak memerlukan ruangan ‘kaum’ ini. Saya rasa tidak selesa setiap kali hendak menanda ruangan itu dalam borang. Saya mahu anak-anak saya membesar dalam keadaan yang tiada perkauman serta diterima dalam masyarakat dengan lebih terbuka.”
- Abdul Yahaya, 27, dari Selangor: “Saya berpendapat ruangan ini perlu dikekalkan untuk tujuan demografik. Saya percaya ia amat penting bagi mengetahui bilangan orang bagi setiap bangsa kerana kita tidak mahu ‘orang luar’ memonopoli negara kita, sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi. Saya merupakan salah seorang daripada mereka yang berpegang kepada istilah ‘Tanah Melayu’ dan saya rasa istilah ini penuh bermakna.”
- Zaki Ahmad, 40, dari Kuala Lumpur: “Jika kita hapuskan ruangan ‘kaum’ ini, saya rasa identiti Melayu turut akan hilang. Saya berpegang kuat kepada kata-kata Hang Tuah ‘Takkan Melayu hilang di dunia’. Jika bukan kita sendiri hendak melindungi identiti kita, siapa lagi?”
- Rokiah Ismail, 48, dari Kota Tinggi, Johor: “Kontroversi tentang menggugurkan ruangan ‘kaum’ ini tidak lebih daripada agenda pihak pembangkang yang ingin mencetuskan ketegangan dalam negara serta memecahbelahkan rakyat. Jika kita tidak berhati-hati, orang Melayu mungkin akan kehilangan hak mereka. Sebagai contoh, pelajar berbangsa Melayu hilang tempat mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan serta dalam mendapatkan biasiswa.