Ruang istirahat Gate G6 Terminal 1 KLIA ditutup sementara akibat bocor susulan hujan lebat - MAHB

Bernama
Julai 10, 2024 04:50 MYT
MAHB berkata kejadian pada pukul 8.11 pagi itu ditangani segera oleh pasukan penyelenggaraan di lokasi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Siling ruang istirahat Gate G6 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami sedikit kebocoran pagi ini akibat hujan yang luar biasa lebatnya, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan berkata ruang berkenaan kini ditutup buat sementara waktu hingga pukul 12 tengah hari ini untuk kerja-kerja pembaikan segera.
"Kami beri jaminan bahawa operasi penerbangan tidak terjejas dan penerbangan berikutnya yang dijadualkan berlepas dari ruang istirahat ini ini telah dipindahkan ke pintu alternatif. Kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi syarikat penerbangan kami untuk memastikan semua penumpang yang terjejas dimaklumkan dengan segera mengenai perubahan ini," kata MAHB.
MAHB berkata kejadian pada pukul 8.11 pagi itu ditangani segera oleh pasukan penyelenggaraan di lokasi.
"Pasukan penyenggaraan sedang gigih berusaha untuk membaiki kebocoran dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Selain itu kami akan menilai dan berusaha mengukuhkan ketahanan kemudahan-kemudahan yang kami sediakan, bagi menghadapi keadaan cuaca melampau dengan lebih berkesan," tambahnya.
-- BERNAMA
#hujan lebat #KLIA #bocor #Gate G6