Ruang berfikir, berkarya di negara ini perlu kebebasan lebih luas - PM Anwar
Bernama
Mac 26, 2024 17:00 MYT
Mac 26, 2024 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ruang untuk berfikir dan berkarya di negara ini menuntut satu suasana kebebasan yang lebih luas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata ia kerana Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan bukannya dijajah sehingga ada sekatan atau rasa terkongkong untuk mana-mana pihak menghasilkan karya mereka.
Beliau berkata ruang yang diberikan itu termasuklah kebebasan untuk melakukan kritikan politik, mencurah idea kepada masyarakat serta berbicara perihal sejarah.
"Harus ada ruang, tapi bagi sang penguasa, saya pun kurang senang (kritikan), jadi harus ada kebijaksanaan dan kesabaran, kalau dunia ini terlalu mengongkong, karya akan terbantut walau kita beri apa sagu hati dan hadian sekalipun.
"Curahan sasterawan, seniman itu juga tidak boleh diukur secara dari sudut terbatas kerana itu (karya) adalah keupayaan dia mencurahkan pemikiran gaya bebas, jadi mesti beri ruang," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu bertemakan Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Mohd Anuar Rethwan.
Perdana Menteri berkata beliau juga mahu sektor pendidikan negara, baik pada sesi persekolahan atau pengajian tinggi untuk turut sama lebih memberi ruang kepada pelajar untuk berkarya.
"Saya beritahu Fadhlina dan Menteri KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) bahawa sekolah dan universiti ini patut diberi ruang kerana menimba ilmu ini juga bermakna melatih pemikiran kritis mereka," katanya.
Anwar turut mengambil contoh boria Pulau Pinang yang dahulunya dipersembahkan dengan alunan muzik segar diiringi pengisian mesej yang sangat kritis menyentuh aspek masyarakat, budaya termasuk pemimpin politik.
"Namun sebaik sahaja boria itu dijadikan corong budaya yang terbatas, corong propaganda, ia membosankan, tak lagi dapat menghasilkan boria tradisional yang sangat indah dan semula jadi yang diterima baik pendengar," katanya.
Anwar turut menggesa DBP dan pihak-pihak berkaitan untuk memperhebat usaha dan kempen bagi menggalakkan generasi masa kini suka membaca.
-- BERNAMA