RTS: Lanjutan 6 bulan untuk kaji pelaksanaannya - Anthony Loke

Harits Asyraf Hasnan
November 5, 2019 14:59 MYT
Tempoh lanjutan diperlukan bukan disebabkan tiada keputusan sebaliknya Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan projek RTS yang kini tertakluk kepada persetujuan Singapura. - Gambar fail
Kerajaan menetapkan lanjutan selama enam bulan bagi meneliti semula tiga perjanjian berkaitan projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tiga perjanjian iaitu Perjanjian Dua Hala baharu, Perjanjian Usaha Sama dan Perjanjian Konsesi membabitkan persetujuan kedua-dua negara perlu dimuktamadkan sebelum 30 April tahun depan.
“Betul, kita ada permintaan lanjutkan selama enam bulan sebelum kita dapat menandatangani semua perjanjian, kerana kerajaan putuskan untuk meneruskan RTS dengan pindaan pada skop dan struktur projek.
“Apabila ada pindaan, perlu ada kajian (pada pindaan itu). Kita akan melantik perunding secara bersama untuk laksanakan kajian kejuruteraan serta pindaan pada perjanjian yang perlu kita tandatangani,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sekaligus menafikan dakwaan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang melaporkan bahawa lanjutan kali ketiga projek RTS yang menghubung jajaran sejauh 4km dari Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura itu adalah disebabkan Malaysia belum mempunyai keputusan.
Tegasnya, tempoh lanjutan diperlukan bukan disebabkan tiada keputusan sebaliknya Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan projek RTS yang kini tertakluk kepada persetujuan Singapura.
“Tempoh enam bulan itu bukan penggantungan untuk meneliti semula (diteruskan atau tidak) projek RTS, tapi untuk mengkaji bagaimana pelaksanaannya,” katanya.
Beliau mengulas laporan media Singapura yang memetik kenyataan Menteri Pengangkutan negara itu, Khaw Boon Wan, bahawa Malaysia memohon lanjutan enam bulan pada 29 Oktober lepas bagi projek RTS untuk kali ketiga, sehingga 30 April 2020.
#Anthony Loke Siew Fook #Malaysia #Media #Menteri Pengangkutan #Parlimen #Perjanjian Dua Hala #Singapura #Sistem Transit Rapid #TRS
;