RTS jadi tumpuan perbincangan pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura
Bernama
Januari 14, 2018 06:20 MYT
Januari 14, 2018 06:20 MYT
Sistem Transit Aliran Deras (RTS) akan menjadi tumpuan perbincangan pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali kelapan yang bermula di sini pada Selasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong, akan menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala RTS semasa pemukiman itu.
Najib, yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke pemukiman itu, dijangka tiba di sini hari ini (Isnin).
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Zulkifli Adnan berkata selain itu, kedua-dua pemimpin akan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
"Selain RTS, Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) merupakan antara isu penting yang akan dibincangkan. Kedua-dua pihak akan meneliti beberapa inisiatif yang telah pun dibincangkan bagi menangani masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas sementara menunggu RTS dan HSR siap, masing-masing pada 2024 dan 2026," katanya kepada wartawan Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini pada Ahad.
Kedua-dua negara sedang meneliti cadangan, antara lain, untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas antara Johor-Singapura, kata Zulkifli.
Antara cadangan yang dikemukakan adalah untuk mewujudkan laluan khusus bagi pejalan kaki dari kedua-dua negara di samping meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api dan feri.
Zulkifli berkata anggota delegasi dari kedua-dua pihak akan turut membincangkan lebih lanjut Perjanjian Air 1962 terutamanya bagi memastikan bekalan air yang mencukupi ke Singapura dari kawasan takungan air Linggiu, Johor.
Pada Isnin, Najib dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob di Istana.
Di sebelah petang, Najib dan Lee dijangka merasmikan pembangunan M+S - Marina One dan DUO.
Hari kedua pemukiman akan dimulakan dengan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin itu, disusuli mesyuarat delegasi yang akan diadakan di Istana.
Pemeteraian kedua-dua dokumen (perjanjian dua hala berkaitan RTS dan MOU tentang kerjasama pendidikan) dijangka berlangsung selepas mesyuarat delegasi.
Najib dan anggota delegasi kemudian akan bertemu komuniti Malaysia di Singapura untuk sesi minum petang sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Antara anggota delegasi Malaysia termasuk Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. -- Bernama
#Halimah Yacob
#HSR
#Kereta Api Berkelajuan Tinggi
#kesesakan lalu lintas
#Lee Hsien Loong
#Malaysia
#Najib Razak
#pemukiman
#RTS
#Singapura
#Sistem Transit Aliran Deras
#Zulkifli Adnan