RTM sedia saluran pendidikan bantu proses PdPR - Saifuddin

Bernama
Januari 22, 2021 21:00 MYT
RTM mempunyai pengalaman dalam menyiarkan saluran TV Pendidikan sejak tahun 1972, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan melancarkan satu saluran khas berbentuk pendidikan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran murid di rumah (PdPR) semasa dan pasca-COVID-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah RTM sememangnya sudah ada pengalaman dalam menyediakan TV Pendidikan sejak 1972 hingga 2008 dan pihaknya menjangkakan saluran baharu itu dapat disediakan pada suku pertama tahun ini.
"Semasa (pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama juga kita ada kelas di rumah dua sesi iaitu dua jam pada waktu pagi dan dua jam pada waktu petang menggunakan saluran TV Okey.
"RTM sebenarnya sekarang ini pun sedang bersedia dan sudah pun membuat ujian saluran baharu. Isi kandungan dalam saluran televisyen itu akan disediakan oleh Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita selepas sidang media penutupan Mesyuarat Menter-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) yang berlangsung secara maya, di sini hari ini.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #Media #pendidikan #PKP #RTM #saluran pendidikan #COVID-19
;