RTK-Ag sudah memadai, tetapi pastikan ikut langkah yang betul - Pakar

Madiha Abdullah
Mac 15, 2022 16:37 MYT
Ujian RTK-Ag sudah memadai kerana tahap kebolehpercayaan yang tinggi selain lebih mudah didapati dan harganya yang lebih murah. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Langkah mengurangkan kebergantungan terhadap ujian RT-PCR untuk pengesanan jangkitan COVID-19 merupakan langkah terbaik terutama ketika perkhidmatan kesihatan awam memasuki fasa endemik.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, ujian RTK-Ag sudah memadai kerana tahap kebolehpercayaan yang tinggi selain lebih mudah didapati dan harganya yang lebih murah.
Walaupun terdapat laporan kes terpencil di mana keputusan RT-PCR tak sama dengan RTK-Ag, ia mungkin terjadi oleh beberapa faktor.
"Ada kemungkinan ujian kendiri itu tidak dilakukan mengikut peraturan sebenarnya. Pengguna perlu mengikut cara yang disarankan oleh setiap kit supaya hasilnya tepat.
"Begitu juga faktor pemilihan kit, kita tahu ada banyak kit yang dijual di pasaran terutama dalam talian. Penting untuk kita cari kit yang diluluskan oleh kementerian," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Selasa.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan kit yang dijual di pasaran menepati piawaian dan bekalannya tidak putus.
"Saya yakin KKM ada mekanisme untuk memastikan peralatan yang masuk ke negara ini sesuai digunakan.
"Tetapi adakalanya kita terlalu bergantung dengan peralatan dari luar, sedangkan universiti tempatan juga mampu keluarkan kit yang berkualiti dengan harga yang jauh lebih murah
"Kit yang dihasilkan penyelidik tempatan lebih mudah untuk dipantau kualitinya, dan KKM perlu beri keutamaan kepada keluaran tempatan.
"Pemantauan secara rawak selepas kit itu masuk pasaran juga perlu, bagi memastikan produk yang dijual itu sama dengan yang berada di pasaran," jelasnya lagi.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan kebergantungan pada saringan RT-PCR dan menggunakan kit ujian pantas semasa peralihan ke fasa endemik COVID-19.
BACA: Lima sebab anda perlu kurangkan kebergantungan terhadap ujian RT-PCR - Khairy
Wajarkah perlu kurangkan kebergantungan terhadap RT-PCR?
#COVID-19 #rT-PCR #RTK-Ag #saringan #Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid
;