RTK 2.0: Selangor rekod permohonan tertinggi, kutip hasil lebih RM100 juta

Bernama
Mei 12, 2023 15:10 MYT
Muhammad Syahmi (kanan) memberi penerangan kepada wakil-wakil majikan pekerja asing sempena Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi Jabatan Imigresen Selangor di Kompleks PKNS, hari ini. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 di Selangor merekodkan permohonan tertinggi berbanding negeri lain di seluruh negara dan memperoleh kutipan hasil levi dan kompaun sebanyak lebih RM100 juta antara Januari hingga 10 Mei lepas.
Pengarah Imigresen Selangor Muhammad Syahmi Jaafar berkata kutipan itu adalah hasil permohonan dan pendaftaran melibatkan seramai 182,754 pendatang asing tanpa izin yang didaftarkan menerusi program tersebut.
Katanya antara faktor yang menyumbang kepada permohonan tinggi itu adalah pengoperasian kilang-kilang di kawasan perindustrian kebanyakannya berpusat di Selangor dan jumlah tenaga buruh yang tinggi.
Beliau berkata sektor pembinaan merupakan sektor tertinggi yang mendaftar diikuti perkilangan dan perkhidmatan.
Menurutnya berdasarkan statistik permohonan, seramai 20,794 pendatang asing tanpa izin dari jumlah tersebut selesai urusan verifikasi dan sebanyak 19,699 permohonan telah diluluskan.
"Permohonan yang ditolak pula kerana terdapat kesalahan imigresen yang tidak membenarkan (permohonan) mereka untuk diproses ke peringkat selanjutnya," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan RTK 2.0 bagi Pembantu Rumah Asing (PRA) di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, hari ini.
Mengulas mengenai PRA, Muhammad Syahmi berkata seramai 7,250 PRA aktif di Selangor dengan warga tertinggi adalah Indonesia iaitu 4,686 orang diikuti Filipina (2,091) dan Vietnam (201 orang).
"Selain itu, antara negara sumber yang dibenarkan PRA ini adalah Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Nepal dan Laos.
"Berdasarkan statistik program RTK 2.0 bagi PRA di Selangor, sebanyak 733 permohonan telah diterima dan hari ini merupakan permulaan untuk urusan verifikasi PRA itu dijalankan," katanya.
-- BERNAMA
#Program Rekalibrasi Tenaga Kerja #RTK #hasil levi dan kompaun #Muhammad Syahmi Jaafar
;