RTB Sungai Bunus 'lupa' diselenggara punca KL terus banjir?
Fauzi Suhaimi
Februari 6, 2021 18:25 MYT
Februari 6, 2021 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Sepatutnya, isu banjir kilat di pusat bandar Kuala Lumpur sudah selesai atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.
Ia menerusi dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sudah dibina iaitu di Sungai Bunur dan Terowong Lebuh Raya SMART.
Menerusi projek itu, aliran air dari lembangan sungai hulu dan hilir ibu negara dapat dikawal walaupun hujan lebat melanda dalam tempoh tertentu.
Projek Lebuh Raya SMART dilihat berkesan kerana berjaya mengurangkan banjir kilat dengan membuat lencongan air Sungai Kelang ke kolam takungan di Taman Desa.
Tetapi apa pula kisah RTB Sungai Bunus?
Kali ini, Astro AWANI meninjau status terkini RTB berkenaan yang terletak di kawasan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di Jalan Semarak, di sini.
Sebelum ini, Astro AWANI mendedahkan, bagaimana kabel utiliti haram berselirat dalam longkang di sekitar ibu negara sehingga menjadi antara punca banjir kilat.
Laporan Khas | RTB Sungai Bunus tidak diselenggara?
Isu banjir kilat ini dipercayai dapat diatasi dengan pembinaan RTB Sungai Bunus yang sepatutnya menjadi kolam tadahan air.
Bagaimanapun, Astro AWANI difahamkan, projek itu gagal berfungsi dengan sewajarnya.
Lebih mengejutkan, tinjauan mendapati, keadaan RTB itu bukan sahaja seolah-olah seperti projek gajah putih, malah ia dipenuhi lumpur, tanah dan sampah.
Keadaan itu seakan-akan ada pihak 'terlupa' untuk menyelanggarakannya.
Difahamkan, berdasarkan pelan pembinaan, projek itu akan menakung air ketika hujan lebat bagi mengelakkan kejadian banjir kilat pada skala besar.
Menurut Pakar Hidraulik dan Hidrologi, Datuk Dr Ir Azuhan Mohamed, pembinaan RTB berkenaan dapat mengurangkan kadar aliran air ke pusat bandar ketika hujan lebat berlaku.
"Hujan lebat dari hulu Lembah Kelang akan membawa aliran air ke pusat bandar. Sebab itu RTB Sungai Bunus dibina untuk menyekat aliran air itu daripada masuk sekali gus mengelakkan kejadian banjir di Kuala Lumpur.
"Namun saya difahamkan, saliran air di RTB Sungai Bunus sudah tersumbat sebab itu air terus keluar membanjiri pusat bandar," katanya kepada Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Difahamkan, projek itu dimulakan pada tahun 2013 melibatkan tujuh pakej di sepanjang jajaran Sungai Bunus dan Online Storage Air Panas adalah projek kelima siapkan pada Februari 2015.
Berdasarkan perkiraan itu, Ir Azuhan berkata, projek berkenaan hanya dimanfaatkan dalam tempoh tiga tahun selepas didakwa tidak berfungsi ekoran gagal diselenggara pihak tertentu sejak tahun 2019.
"Saya difahamkan kes ini berlaku pada tahun 2019 dan keberkesanan RTB ini telah menurun dan tidak berkesan sepenuhnya.
"Sekiranya tidak ada kolam tadahan air ini, banjir di Kuala Lumpur lebih teruk, ini tujuan kolam tadahan air ini dibina untuk mengurangkan kejadian banjir," ujarnya.
Beliau menambah, sekiranya RTB itu berfungsi sebagaimana yang dirancang, banjir di Kuala Lumpur bukan sahaja dapat dikawal, malah kesan fenomena itu juga jauh lebih berkurangan.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan maklum balas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan ia berada dibawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
#Banjir Kuala Lumpur
#RTB Sungai Bunus
#hujan lebat
#aliran air
#sungai gombak
#Sungai Kelang
#Kolam Tadahan Air
#Terowong SMART
#banjir kilat
#Pusat bandar