RSPO tawar ganjaran RM50,000 untuk maklumat berkaitan pembunuhan gajah pygmy

Bernama
Oktober 22, 2019 06:22 MYT
Keadaan bangkai gajah Pygmy yang ditemui pekerja ladang kelapa sawit dekat Beluran, 19 Okt lalu. - Foto PDRM/Jabatan Hidupan Liar Sabah
Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO) menawarkan ganjaran RM50,000 bagi maklumat yang boleh membawa kepada penahanan dan sabitan terhadap orang yang bertanggungjawab membunuh gajah pygmy yang ditemui di Beluran, Sabtu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Datuk Darrel Webber seterusnya mengutuk pembunuhan haiwan yang terpelihara itu, yang ditemui dengan kesan tembakan dan tanpa gadingnya di ladang penanaman kelapa sawit di Beluran itu.
"Ganjaran ini adalah sumbangan yang tidak seberapa bagi membantu usaha mencari mereka yang bertanggungjawab, dan pemberiannya akan diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Gajah itu dipercayai telah mati kira-kira lima hari sebelum bangkainya ditemui oleh pekerja ladang.
"Mereka yang bertanggungjawab ini perlu dibawa ke muka pengadilan dan menerima pembalasan terhadap tindakan ganas mereka. Pembunuhan haiwan itu adalah tanda-tanda awal bagi masalah yang lebih besar - masalah yang hanya akan berkembang menjadi lebih buruk sekiranya kita, secara bersama, tidak menanganinya lebih awal," katanya.
BACA: Seekor lagi gajah Pygmy ditemui mati dengan kesan tembakan
Beliau seterusnya merujuk kepada pentingnya usaha mengurus populasi gajah di Sabah, termasuk usaha memahami saiz populasinya, perkembangannya, dan melihat kepada lanskap Sabah, terutama mengenai bagaimana mereka boleh dibantu.
"Demi kepentingan industri utama Sabah, terutama dalam sektor pelancongan dan minyak sawit, satu pengurusan populasi gajah perlu ada. Kedua-dua sektor perlu bekerjasama keras mencari peranan masing-masing, Jika tidak, ia hanya akan mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.
BACA: Kematian gajah pygmy: PDRM seru bantuan orang ramai kesan suspek
Webber berkata RSPO faham kepentingan mengimbangi keperluan haiwan itu, dengan keperluan populasi penduduk tempatan, yang pastinya menampilkan isu yang mencabar untuk ditangani.
"Kita berharap inisiatif semasa kerajaan Sabah, industri dan masyarakat umum bagi menangani isu ini boleh membantu ke arah pendekatan menyeluruh dalam menguruskan populasi gajah di Sabah.
BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan
-- BERNAMA
#bunuh gajah #Darrel Webber #gajah #gajah pygmy #Jabatan Hidupan Liar #kelapa sawit #ladang #mati #pelancongan #RSPO #Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit #Sabah #suspek #tembakan
;