RSPO mulakan siasatan dakwaan buruh paksa CBP terhadap Sime Darby Plantation

Bernama
Disember 31, 2020 06:00 MYT
RSPO menggesa CBP berkongsi maklumat dengannya yang akan membolehkan ia menyiasat perkara itu.
KUALA LUMPUR: Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) memulakan siasatan segera terhadap dakwaan pelanggaran yang dilakukan oleh Sime Darby Plantation Bhd (SDP) seperti yang dilaporkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).
RSPO menggesa CBP berkongsi maklumat dengannya yang akan membolehkan ia menyiasat perkara itu dan melaporan secara telus dapatan daripada siasatannya.
"Kami boleh mengesahkan bahawa audit yang dilaksanakan pada awal tahun ini ke atas SDP tidak menunjukkan sebarang pelanggaran. Kami bergantung pada juruaudit bebas untuk mengesan pelanggaran seperti ini dan sehingga kini, tidak ada perlanggaran yang dikenal pasti di mana-mana ladang SDP," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Beverley Postma berkata pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap amalan buruh paksa seperti yang dijelaskan CBP, itulah sebabnya mengapa perlindungan hak asasi pekerja adalah sebahagian daripada standard yang diamalkan RSPO dalam industri minyak sawit.
"Kami mengecam sebarang penggunaan buruh paksa atau sebarang bentuk perhambaan moden di mana-mana perladangan sama ada yang memperoleh sijil ataupun tidak," katanya.
Postma berkata pelanggaran hak asasi manusia masih kekal menjadi cabaran paling sukar bagi sektor pertanian dan perindustrian yang beroperasi dalam komuniti berpendapatan rendah.
Oleh itu, ia komited untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan, persatuan masyarakat dan perniagaan bagi menangani punca kepada isu-isu ini di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan standardnya.
"RSPO sekali lagi meminta kerajaan Amerika Syarikat dan CBP untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi berkaitan dalam melaksanakan penilaian risiko sepenuhnya terhadap kesan sekatan ini.
"Kami juga mnggesa mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia ke arah mencapai hasil positif yang membolehkan kedua-dua negara memenuhi komitmen mereka terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Postma.
-- BERNAMA
#Sime Darby Plantation Bhd #siasatan #Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari #RSPO #kelapa sawit #Amerika Syarikat
;