RRC Singapura tidak munasabah, Pemuda UMNO Johor bantah

Astro Awani
Januari 17, 2017 10:41 MYT
HAHASRIN: Pergerakan Pemuda UMNO Johor percaya tindakan Singapura memperkenalkan caj seumpama itu adalah sebagai sebuah 'gesture' provokasi.
Tindakan kerajaan Singapura memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) yang akan dikuatkuasakan pada 15 Februari ini adalah satu tindakan yang melulu dan tidak munasabah, kata Pemuda UMNO Johor hari ini.
Ketuanya Hahasrin Hashim berkata, rakyat Malaysia khususnya yang menetap di Johor Bahru dan bekerja di Singapura, ketika ini menanggung kos perjalanan keluar masuk ke republik itu sebanyak RM145.08 sehari.
Dengan penambahan caj baru tersebut, katanya, mereka terpaksa membayar sejumlah RM165.05 bagi perjalanan pergi dan balik ke Singapura.
"Pergerakan Pemuda UMNO Johor sebulat suara membantah tindakan kerajaan Singapura memperkenalkan caj timbal balik kepada kenderaan asing khususnya disasarkan kepada pemandu Malaysia.
"Kami juga percaya tindakan mereka memperkenalkan caj seumpama ini adalah sebagai sebuah 'gesture' provokasi," katanya dalam satu kenyataan.
Hahasrin berkata, selama 44 tahun kerajaan Singapura telah memperkenalkan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) tetapi kerajaan Malaysia tidak bersikap "terlalu sensitif dan melatah" dengan mengenakan caj timbal balik kepada mereka.
Pergerakan itu juga mendesak kerajaan pusat untuk campur tangan dan berdialog dengan kerajaan Singapura untuk mencapai satu kata sepakat di dalam mengakhiri episod sandiwara “victim playing” (berperanan sebagai mangsa) kerajaan Singapura ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia menghormati keputusan Singapura memperkenalkan RRC dan akan meneruskan perbincangan dengan republik itu berhubung perkara itu.
Menyifatkan Malaysia "berbeza" daripada Singapura dalam hal caj jalan raya yang dikenakan, Liow berkata tiada diskriminasi ke atas kenderaan Singapura memandangkan caj yang sama juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Brunei dan Indonesia.
Terdahulu, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengumumkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki republik itu sama ada melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
#caj jalan raya #Hahasrin Hashim #kenderaan berdaftar #Pemuda UMNO Johor #Reciprocal Road Charge #RRC #Singapura
;