RPL kembalikan mandat pengundi, kekal atau pecat wakil rakyat - Bersih 2.0

Astro Awani
Julai 29, 2021 22:04 MYT
Bersih 2.0 menjelaskan antara manfaat RPL adalah mengembalikan mandat kepada pengundi untuk memutuskan kedudukan wakil rakyat dan bukannya menunggu hingga pilihan raya umum berikutnya. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat (RPL) mengembalikan mandat kepada pengundi dengan membenarkan mereka memulakan petisyen untuk mengekalkan atau memecat seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann menjelaskan, ia berdasarkan wakil rakyat yang telah menukar parti untuk kepentingan peribadi atau jika kepemimpinan parti tidak setuju dengan keputusannya.
Tegasnya, ia telah menjadi amalan di negara-negara seperti India, Jerman, Kanada dan Amerika Syarikat di mana inisiatif untuk menghentikan lompat parti telah dimulai di peringkat sub-nasional.
"Ini adalah satu masalah besar dalam negara kita, bukan hanya di peringkat persekutuan tetapi juga di negeri.
"Kalau kita tidak ada satu mekanisme untuk beri satu halangan kepada wakil rakyat yang ingin melompat, perkara ini akan berterusan.
"Jadi kita sudah buat kajian dan cadangan diberi berasaskan hasil dapatan dari negara lain, prosedur mereka untuk memecat wakil rakyat yang melompat," katanya semasa pelancaran laporan dan forum dalam talian, penggubalan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat di peringkat negeri secara maya pada Khamis.
Menurut Thomas, pihaknya turut mendesak agar pelaksanaan RPL oleh kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum akan datang sebagai langkah pencegahan lompat parti sebelum pilihan raya.
Kataya, ia sekali gus mengembalikan keyakinan pengundi yang kecewa dengan perbuatan lompat parti yang berlaku dalam dua tahun kebelakangan ini.
Pembentang laporan adalah Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat sementara panel adalah bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman, ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse serta peguam bela dan peguam cara, Edmund Bon Tai Soon.
Sementara itu, Chin Huat menjelaskan, rakyat berhak untuk mengambil keputusan menolak wakil rakyat jika terjadinya pertukaran keanggotaan parti termasuk pemecatan individu berkenaan.
Katanya, ia termasuk penyabitan kesalahan tidak boleh dikompaun, hukuman penjara atau tidak hadir sidang DUN lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan berturut-turut.
Ujarnya, tiada prosedur pecat wakil rakyat boleh berlaku tanpa perbuatan ADUN itu sendiri kecuali pemecatan oleh parti yang diwakili.
Dalam pada itu, Shahrir menjelaskan, pindaan itu lebih baik dilakukan di peringkat persekutuan iaitu di Parlimen.
Ujarnya, masalah itu lebih ketara di peringkat Parlimen selain perlu kerjasama di antara parti-parti untuk menerima cadangan berkenaan.
"Mungkin kita lihat ada persetujuan dari parti yang menerima masalah lompat katak ini, PKR terutamanya, bukan sahaja UMNO dan BN.
"Jadi kalau UMNO dan PKR boleh bersetuju sebagai satu usaha pada masa akan datang di dalam Parlimen kalau diangkat, lagi besar kemungkinan perubahan itu akan berlaku.
"Jadi biasanya, kepemimpinan nasional ini penting dan sebab itu saya rasa perubahan yang kita hendak lihat dari segi sistem atau prosedur pemilihan semula wakil rakyat kerana pemecatannya harus bermula dari Parlimen di peringkat kebangsaan," jelasnya.
Mengulas isu sama, Young Syefura berkata, situasi lompat parti di negara ini sangat serius kerana ia mengkhianati mandat rakyat selain berkaitan moral dan integriti wakil rakyat itu sendiri.
Tegasnya, rakyat juga sudah berasa muak dan bosan selain berkemungkinan tidak mahu lain mengundi dalam pilihanraya selepas ini kerana undi mereka dianggap telah dikhianati.
"Mereka melihat politik hari ini sudah menjadi trend lompat parti di mana seseorang wakil rakyat itu yang merasakan ada masalah atau mendapat suapan, maka dia akan melompat ke parti yang disukainya.
"Jadi ini adalah perkara serius yang perlu dilihat dan dipastikan tidak lagi berlanjutan pada masa akan datang," ujarnya.
Di dalam satu kenyataan, Bersih 2.0 menjelaskan antara manfaat RPL adalah mengembalikan mandat kepada pengundi untuk memutuskan kedudukan wakil rakyat dan bukannya menunggu hingga pilihan raya umum berikutnya.
#UMNO #Bersih #dalam talian #penjara #Parlimen #ADUN
;