Rozita Waty pangku jawatan CEO Finas mulai 1 Jun

Bernama
Jun 1, 2023 12:40 MYT
Finas memaklumkan keputusan tersebut merupakan langkah penstrukturan semula yang akan melibatkan penjajaran semula terhadap dasar, program dan aktiviti industri kreatif, terutamanya industri perfileman.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memutuskan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas Rozita Waty Ridzuan menanggung kerja jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Finas berkuat kuasa 1 Jun sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.
Finas melalui kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut merupakan langkah penstrukturan semula yang akan melibatkan penjajaran semula atau recalibration terhadap dasar, program dan aktiviti industri kreatif, terutamanya industri perfileman.
"Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem-filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi," katanya.
Pada masa sama, Finas merakamkan penghargaan kepada Prof Dr Md Nasir Ibrahim atas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas bermula 1 Nov 2021 sehingga 31 Mei.
"Finas mengucapkan selamat maju jaya kepada Md Nasir dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa jua bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak," menurut kenyataan.
-- BERNAMA
#FINA #Rozita Waty Ridzuan #Ketua Pegawai Eksekutif #Prof Dr Md Nasir Ibrahim
;