Roziah wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UiTM
Faris Danial Razi
September 3, 2021 18:18 MYT
September 3, 2021 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menerima Prof Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor yang baharu selepas beberapa bulan jawatan itu dikosongkan.
Menurut satu perkongsian di Facebook, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata Roziah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UiTM.
“Hari ini saya telah menyerahkan surat pelantikan kepada Dr Roziah sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu,” jelasnya.
Noraini berkata, Roziah, 58, mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang yang sama dari West Virginia University, AS dan seterusnya memperolehi PhD dalam bidang statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, Roziah turut menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan fakulti menjadi 'Kolej Pengajian 10 Bidang', Education 5.0@UiTM dan Global Learning.
Kata Noraini, beliau percaya pelantikan Roziah mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM.
“Dengan visi untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti mega seterusnya memberi peluang yang luas kepada Bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang, saya percaya bahawa Roziah mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tiga persatuan dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menyelesaikan segera isu pelantikan Naib Canselor baharu universiti tersebut.
Mereka berpandangan, penangguhan lantikan Naib Canselor sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan anggota masyarakat.