Royalti petroleum Kelantan dibayar sekiranya ada keputusan dibuat - Amiruddin
Muhafandi Muhamad
September 18, 2019 15:46 MYT
September 18, 2019 15:46 MYT
Kementerian Kewangan akan melaksanakan pembayaran sekiranya ada keputusan tertentu yang dibuat oleh kerajaan dan juga Kabinet berhubung pembayaran tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah bagaimana pun berkata, pihaknya tidak ada maklumat berhubung perkara berkenaan.
“Bila sudah ada keputusan keputusan tertentu untuk kita laksanakan sama ada kabinet atau kementerian dan dipersetujui kita akan melaksanakan keputusan yang dibuat itu.
“Kadang kadang cash flow management (pengurusan aliran tunai), ikut aliran tunai apa yang due ada keputusan kementerian akan akur dan laksanakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dilaporkan berkata Kementerian Kewangan tidak mengeluarkan pembayaran royalti kepada Kelantan walaupun pada asasnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersetuju membayar tuntutan royalti.
Mohd Amar juga dilaporkan berkata pembayaran royalti itu terhenti di Kementerian Kewangan dan mendakwa Kementerian Kewangan melengah-lengahkan pembayaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan komited memastikan tidak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.
"Tidak dinafikan masih wujud ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan, namun katanya kementeriannya serta Jabatan Akauntan Negara akan meminimakan ketirisan itu melalui kawalan dalaman, kaedah dan arah serta sistem yang digunakan dalam jabatan," katanya.
#Amiruddin Hamzah
#kabinet
#Kementerian Kewangan
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Menteri Besar
#Mohd Amar Nik Abdullah
#Perdana Menteri
#Timbalan Menteri Besar Kelantan
#Timbalan Menteri Kewangan