Royalti: MB Terengganu akan adakan pertemuan dengan PM
Bernama
Mei 20, 2018 04:41 MYT
Mei 20, 2018 04:41 MYT
Kerajaan negeri Terengganu menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kaedah penyaluran royalti minyak dan gas kepada rakyat negeri itu.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jaminan Tun Dr Mahathir itu sangat dialu-alukan dan beliau menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai sesuatu yang sangat positif dalam hubungan kerajaan negeri Terengganu dan persekutuan.
"Saya mewakili rakyat Terengganu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada perdana menteri atas jaminan berhubung penyaluran royalti minyak itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Batu Enam di sini pada Ahad.
Isu royalti minyak dan gas Terengganu terus menjadi perhatian ramai apabila Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tetap menerima manfaat royalti itu namun ia tidak diberi secara terus kepada kerajaan negeri pimpinan PAS ketika ini, Ahmad Samsuri berkata itu hanyalah pandangan peribadi beliau.
Ditanya mengenai kewajaran untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, Ahmad Samsuri berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkannya secara lebih serius dengan mengambil kira impak positif terhadap ekonomi dan rakyat Terengganu.
"Bagi saya, projek ini wajar diteruskan kerana ia boleh menjana pertumbuhan ekonomi negeri terutama di kawasan yang akan terlibat sebagai hentian laluan kereta api ini.
"Saya berharap projek-projek yang baik seperti ini akan diteruskan asalkan tidak memberi bebanan kepada negeri dan rakyat negeri," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Samsuri Mokhtar
#Azan Ismail
#ekonomi
#kerajaan negeri
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Menteri Besar
#minyak
#Pakatan Harapan
#Pantai Timur
#PAS
#pilihan raya umum
#PKR
#projek
#PRU14
#rakyat
#Ramadan
#royalti
#terengganu