Royal Floria Putrajaya tarik 50,000 pelancong dalam tempoh tiga hari
Bernama
September 3, 2019 18:30 MYT
September 3, 2019 18:30 MYT
Festival bunga antarabangsa, Royal Floria Putrajaya (RFP) yang berlangsung di Taman Botani, Presint 1 di sini berjaya menarik kedatangan lebih 50,000 pelawat sejak dibuka Sabtu lepas.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata tarikan yang ada di Floria boleh menarik minat pelancong asing untuk datang lagi ke sini tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Floria ini seronok pasal dia bagi kita hiburan siang dan malam. Seperti di Taman MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), kita ada persembahan tarian kebudayaan dan demonstrasi masakan tradisional.
"Pelawat yang datang ke sini nampak bunga yang cantik-cantik, persembahan tarian... jadi mereka sukalah," katanya kepada media selepas menghadiri acara demo masakan warisan istana oleh Chef Selebriti Norzailina Nordin di sini pada Selasa.
Mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai tema utama pameran, RFP dibuka kepada pelawat bermula Sabtu lepas hingga 8 Sept ini.
Sementara itu, ditanya tentang isu pelancong asing yang datang ke sini dan menjadi dalang penyeludupan dan penjualan biji benih endemik ke luar negara lalu menjualnya secara haram, Mohamaddin berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian terlibat untuk mengatasi isu itu.
-- BERNAMA
#bonsai
#Datuk Mohamaddin Ketapi
#Festival bunga antarabangsa
#Floria
#orkid
#pelancong
#Putrajaya
#Royal Floria Putrajaya
#Taman Botani